PKPD Di tiga Lokasi Pada 30 Mei 2021

Read Time:1 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU: Tiga lokasi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sabah bermula 1 Jun sehingga 14 Jun 2021.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tiga lokasi itu ialah Kampung Tanjung Kapor, Kudat, Taman Pelangi, Semporna dan Kampung Assam, Lahad Datu.

“Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di tiga lokasi berkenaan selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Sementara itu katanya pada 30 Mei 2021, Sabah mencatatkan sebanyak 190 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 62,037 kes dengan dua kes kematian di Lahad Datu.

Katanya, jumlah kes baharu pada hari berkenaan mencatatkan penurunan ketara sebanyak 75 kes berbanding hari sebelumnya (29 Mei 2021).

“Daripada 190 kes jangkitan baharu hari ini, 101 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 44 kes adalah daripada saringan kluster, 31 kes adalah daripada saringan bergejala, enam  kes daripada saringan bersasar dan lapan kes adalah daripada lain-lain kes.

“10 daerah di Sabah mencatatkan penurunan kes. Tujuh daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu angka, manakala tiga daerah lain menunjukkan penurunan ketara pada julat dua angka iaitu Tawau (-43 kes), Kalabakan (-38) dan Kota Kinabalu (-26 kes),” katanya.

Bagaimanapun katanya, terdapat lapan daerah yang mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan enam daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu angka, manakala dua lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua angka iaitu Kunak 34 kes (+14) dan Papar 25 kes (+13).

Menurutnya, Semporna kekal catatan kes baharu sebagaimana hari kelmarin iaitu dengan tiga kes.

Dalam pada itu katanya, 10 daerah mencatatkan sifar kes iaitu Ranau, Beluran, Telupid, Pitas, Sipitang, Keningau, Tongod, Tenom, Nabawan dan Tambunan.

“Sungguhpun berlaku trend penurunan kes di Sabah sejak kelmarin, perubahan angka bagi daerah-daerah yang berada di Zon Kuning, Jingga dan Merah adalah tidak statik.

“Oleh sebab itu, keberkesanan penurunan kes dalam membendung penularan pendemik Covid-19 ini sangat bergantung kepada sejauh mana kesungguhan komuniti dalam pematuhan SOP kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.