Kerajaan Sabah arah semua ketua kampung pantau, kawal COVID-19

Read Time:1 Minute, 51 Second

Kerajaan Sabah mengarahkan semua ketua kampungnya untuk memantau dan mengawal penularan COVID-19, dalam kawasan pentadbiran kampung masing-masing.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahannya Datuk Masidi Manjun berkata, arahan tugasan itu adalah selaras dengan kuasa diberikan kepada ketua kampung, di bawah Ordinan Pentadbiran Luar Bandar [Sabah Bab 132] (OPLB) demi membendung penularan COVID-19 di Sabah.

Beliau berkata, semua ketua kampung diminta memaklumkan kepada Datuk Bandar Bandaraya Kota Kinabalu, Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Pegawai Daerah, Penolong Pegawai Daerah Pejabat Daerah Kecil, dengan serta merta sekiranya berlaku penularan COVID-19 atau kematian di kampung masing-masing.

“Ketua kampung juga hendaklah memaklumkan pihak berkenaan, sekiranya ada penduduk kampung atau orang yang berada dalam kampung, melakukan atau cuba melakukan atau dengan niat melakukan kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara, yang menjadi kesalahan di bawah Akta 342.

“Selain itu, ketua kampung hendaklah mengambil langkah mengawal pergerakan kemasukan orang luar ke dalam kawasan kampung. Semua maklumat orang luar yang masuk dan keluar dari kampung, hendaklah direkodkan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Masidi berkata, kerjasama dan tanggungjawab semua ketua kampung amat diperlukan, dalam membantu kerajaan mengawal penularan jangkitan COVID-19, yang semakin serius.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata, sebanyak 207 kes baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif wabak tersebut di Sabah 62,244 kes, dengan dua kematian dilaporkan di Kunak dan Lahad Datu.

Beliau berkata, satu kluster baharu direkodkan di Tawau hari ini susulan aktiviti kunjung-mengunjung sempena sambutan Syawal, dengan kes indeks merupakan seorang guru lelaki yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kinabutan 2.

Masidi berkata, Kluster Milenium mula direkodkan di Klinik Kesihatan Tawau hasil saringan bergejala terhadap guru lelaki berusia 43 tahun itu pada 23 Mei lepas, sebelum selang dua hari kemudian, seramai 16 ahli keluarga kes indeks berkenaan didapati positif COVID-19.

“Dalam pada itu, saringan kontak sosial dan tempat kerja iaitu di Agro Bank juga mengesan sembilan lagi kes positif, termasuk tiga kontak rapat kepada salah satu kes positif di bank komersial terbabit.

“Turut direkodkan lima kes positif baharu menjadikan jumlah kumulatif 31 kes. Pengesanan kontak sedang giat dijalankan dan punca sebenar jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.