152,900 Individu Di Sabah Sudah Menerima Vaksin

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 7 Second

KUALA LUMPUR, Seramai 1,122,420 individu di negara ini telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini.

Beliau berkata angka itu merupakan peningkatan sebanyak 7,736 orang berbanding 1,114,684 pada Selasa.

Selain itu, seramai 2,208,016 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini berjumlah 3,330,436, katanya dalam hantaran menerusi Twitter beliau. 

Menurut infografik berkenaan, Sabah kini  mencatatkan sejumlah 152,900 orang telah menerima suntikan manakala 89,821 orang  telahpun melengkapkan jumlah 2 dos suntikan manakala  Selangor merupakan negeri yang merekodkan dos lengkap tertinggi iaitu 145,636,  diikuti Sarawak (116,399), Perak (105,302), Kuala Lumpur (101,249) dan Johor (97,983).

Mengikut perancangan, fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula April lepas hingga Ogos ini akan membabitkan pemvaksinan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya. 

Fasa ketiga akan bermula pada bulan ini hingga Februari 2022, melibatkan individu berusia 18 tahun ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran sekurang-kurangnya 13.7 juta orang.

Pada fasa pertama program yang berlangsung dari Februari hingga April lepas, sekitar 500,000 petugas barisan hadapan termasuk warga kesihatan menerima vaksin itu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *