Kluster Membabitkan Upacara Keagamaan Dikesan Sabah, PKPD Lorong Pasir Putih 1 Putatan Bermula Sabtu Ini

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:50 Second

10 Jun 2021
Erdie Ab Wahid
[email protected]

KOTA KINABALU : Satu kluster baharu direkodkan di Sabah iaitu Kluster Kampung Lobou Kota Kinabalu membabitkan upacara keagamaan di sebuah gereja SIB Kampung Lobou Menggatal sepanjang 16 hingga 23 Mei lalu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kluster berkenaan telah mencatat tujuh kes baharu hari ini hasil saringan kontak rapat dan saringan bergejala yang mempunyai epidemiologi.

“Kes indeks merupakan kakitangan awam seorang lelaki berusia 35 tahun yang juga ahli gereja yang disahkan positif dalam saringan bergejala di Klinik Ajie Bandar Sierra sebelum dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.

“Daripada 62 sampel, sebanyak 15 sampel dikesan positif sementara 19 sampel negatif dan 28 lagi sedang menunggu keputusan ujian saringan,”katanya.

Dalam perkembangan lain, sebanyak satu kawasan di Putatan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu di Lorong Pasir Putih 1, Taman Pasir Putih Fasa Satu Putatan.

“PKPD di kawasan berkenaan akan berkuatkuasa bermula 12 Jun sehingga 25 Jun depan selaras dengan keputusan kerajaan persekutuan,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *