KOTA KINABALU: Peguam Marcel Jude Joseph perlu dihadapkan ke Mahkamah Anak Negeri dan dikenakan ‘sogit’ kerana didakwa telah mengabaikan serta melanggar adat istiadat masyarakat Kadazan Dusun dan Murut (KDM), kata Presiden Persatuan Budaya Kadazandusun (KDCA), Joseph Pairin Kitingan.
Pairin yang juga Huguan Siou atau pemimpin tertinggi KDM berkata, Jude bukan saja secara langsung telah menyinggung perasaan KDCA tetapi juga telah menyinggung perasaan pelbagai pihak.
Katanya, ia susulan kenyataan Jude yang menghina pertandingan ratu Kaamatan atau Unduk Ngadau dalam nota hujahnya ketika memohon pengurangan jumlah wang ikat jamin bekas pemimpin STAR yang menghadapi lima pertuduhan mencabul kehormatan di mahkamah.
”Pertamanya, laporan polis harus dibuat terhadap tindakannya itu bagi memastikan polis mencatatkan kenyataannya yang tidak boleh dimaafkan itu.
”Kedua, KDCA boleh mengambil tindakan terhadap Jude yang dilihat berniat jahat kerana memalukan persatuan ini selain memperlekehkan KDCA dengan cara yang tidak sepatutnya sehingga mencemarkan nama persatuan,” katanya dalam kenyataan.
Sogit adalah satu bentuk pampasan yang diperuntukan dalam Kaedah Mahkamah Anak Negeri (Undang-Undang Adat Anak Negeri Sabah) 1995 sekiranya berlaku pelanggaran adat.
Terdahulu, Setiausaha Agung KDCA, Suman Yasambun bersama Pengerusi Majlis Wanita dan Belia persatuan itu, Joanna Kitingan serta Steve Johnny Mositun membuat laporan polis terhadap Jude di Balai Polis Penampang, petang tadi.
Suman berkata, laporan polis itu dibuat susulan kenyataan Jude yang menyamakan pertandingan Unduk Ngadau dengan pertunjukan lembu eksotik.
”Sejak timbulnya kenyataan itu, yang jelas menunjukkan satu kenyataan provokasi terhadap masyarakat Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR), KDCA telah mendapat aduan yang merupakan bantahan daripada semua lapisan KDMR terhadap kenyataan peguam itu dan mahu tindakan diambil,” katanya.
Terdahulu, hari ini, Jude memohon maaf kerana penghujahannya yang didakwa telah menyinggung serta menyakitkan hati ramai pihak.
Peguam yang mewakili Phillip Among dalam kes mahkamah itu berkata, dia memohon maaf kerana nota hujahnya yang menyamakan acara ratu Kaamatan atau Unduk Ngadau dengan ‘persembahan lembu eksotik’ (exotic cattle show) dan ‘acara lelong’ (auction show).
Saya, Marcel Jude Joseph, dengan ikhlas dan sepenuh hati memohon maaf atas bahagian dalam penghujahan mahkamah yang telah menyinggung dan menyakitkan (pihak yang berkaitan).
“Maka di sini saya membuat permohonan maaf ikhlas ini kepada semua Unduk Ngadau di seluruh Malaysia, dari permulaan acara ratu Kaamatan Unduk Ngadau sehingga untuk tahun 2021,” katanya.