Jeffrey Menghadap Agong, Isu Darurat dan Covid-19

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU: Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan menerima menghadap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan secara maya pada pagi Isnin (14 Jun) untuk mendengar pandangan mengenai Covid-19 dan isu darurat.


Dalam satu kenyataan hari ini, Jeffrey berkata semasa pertemuannya dengan Yang Di-Pertuan Agong, beliau telah menyuarakan rekomendasi tentang bagaimana kerajaan dapat menyelesaikan krisis pandemik Covid-19.


“Saya mencadangkan kepada tuanku bahawa status ‘darurat’ harus dikekalkan buat sementara waktu sehinggalah situasi stabil dan isu-isu lain seperti isu keselamatan dan politik, akan selesai dengan sendirinya.


“Saya juga menekankan pengajaran yang kita semua harus ambil dari Sabah di mana pilihanraya pada September tahun lalu telah memicu gelombang ketiga Covid-19 di Malaysia.


“Bahkan setelah hampir sembilan bulan, gelombang ketiga ini masih belum menunjukkan tanda-tanda mereda,” katanya.


Timbalan Ketua Menteri itu juga berkata bahawa situasi pandemik Covid-19 di Malaysia tidak boleh dilihat secara terpisah melainkan dibandingkan dengan negara-negara lain.

Beliau berkata, Malaysia bukan satu-satunya negara di dunia yang telah mengisytiharkan darurat untuk menangani krisis ini malah lebih daripada 70 negara lain telah mengambil langkah yang sama untuk memerangi Covid-19.


Pada masa yang sama, Jeffrey berkata program vaksinasi di Sabah terlalu perlahan dan salah satu penyebabnya ialah infrastruktur yang kurang baik, terutama sistem telekomunikasi.


“Ada keperluan mendesak untuk meningkatkan program kesedaran vaksinasi, dan Kerajaan Sabah melakukan segala yang termampu untuk membantu rakyat, baik secara sosial mahupun ekonomi.

“Pada pendapat saya, pusat vaksinasi harus lebih mudah diakses, dan semua klinik kesihatan awam, swasta dan desa harus mempunyai akses ke vaksin,” katanya.


Beliau turut menyarankan agar Kementerian Kesihatan mencontohi negara lain, seperti India, dengan menyediakan perkhidmatan vaksinasi bergerak di kawasan luar bandar.

Jeffrey mengatakan selain isu-isu ini, Yang Di-Pertuan Agong menjelaskan bahawa baginda tidak berniat membincangkan soal politik pada pertemuan itu.

Dalam ucapan penutupnya, Yang Di-Pertuan Agong mengucapkan terima kasih kepada Jeffrey atas cadangan-cadangan beliau dan mendoakan yang terbaik bagi Sabah dalam memerangi pandemik COVID-19 di wilayah Sabah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *