Kerajaan Pusat Diminta Salur Bantuan Vaksin Sinovac Sumbangan China Kepada Sabah -Bung

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 37 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan pusat diminta untuk turut menyalurkan bantuan vaksin Sinovac sumbangan dari negara China kepada Sabah agar Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini dapat diteruskan dan berjalan lancar.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, perkara itu perlu diberikan pertimbangan oleh kerajaan pusat  bagi memenuhi keperluan pelaksanaan PICK yang giat dilaksanakan di Sabah.

“Kita masih memerlukan vaksin tambahan ekoran kerancakan pemberian vaksin dibawah PICK yang sedang berjalan lancar  di seluruh daerah di negeri   ini.

“Kita perlu bersedia awal agar bekalan vaksin sentiasa mencukupi bagi memenuhi keperluan rakyat yang masih ramai belum menerimanya khususnya di kawasan luar bandar” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan media Menteri Luar Datuk Seri Hishammudin Hussein pada rabu berhubung kesediaan China dan juga Jepun menyumbang vaksin kepada Malaysia.

Dalam kenyataan tersebut Hishammudin menyatakan hasrat China menyumbang 500,000 ribu  dos vaksin Sinovac-Cornovac kepada rakyat negara ini seperti dimaklumkan Menteri Luar Negara itu Wang Yi  pada rabu.

Selain itu negara Jepun juga melalui kenyataan Menteri Luar Motegi Toshimitsu sedia menyumbangkan vaksin keluaran AstraZeneca dikilangkan di Jepun kepada Malaysia.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, negeri ini perlu mendapat agihan yang mencukupi melalui sumbangan berkenaan dimana ianya sesuai digunakan untuk pemberian vaksinasi khususnya di kawasan luar bandar di Sabah.

Katanya, walaupun pemberian vaksinasi berjalan rancak ketika ini, namun tidak dinafikan masih ramai di kalangan penduduk di Sabah khususnya di luar bandar dan kawasan pedalaman belum menerimanya atas faktor komunikasi dan kurang kefahaman tentang kebaikan mengambil vaksin.

“Melalui jentera kerajaan yang ada termasuk pemimpin peringkat akar umbi seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan kampung (JPKK) perlu digerakan  secara lebih proaktif bagi memberikan penerangan tentang kebaikan mengambil vaksin disamping  mendaftarkan komuniti setempat sebagai penerima.

“PICK ini juga merupaan satu-satunya jalan keluar ‘Exit Strategy’ Bagi mengawal penularan wabak COVID-19 di negara ini dan segala sektor terutamanya sektor ekonomi boleh digerakkan,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *