GLC Diseru Terus Laksana CSR Bantu Penduduk Terjejas – Isnin

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 20 Second

17 Jun 2021
Erdie Ab Wahid
[email protected]

BEAUFORT : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias Datuk Isnin Aliasnih menyeru kepada semua pihak khususnya Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di Sabah untuk memperbanyakkan lagi pelaksanaan program berbentuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Katanya, program CSR merupakan langkah terbaik kerana dapat membantu golongan memerlukan khususnya kepada mereka yang terjejas ekoran penularan virus COVID-19.

“Pada hari ini kita telah menerima sumbangan berupa bakul makanan yang diterima dari Kumpulan Sawit Kinabalu untuk diserahkan kepada penduduk yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) khususnya di Beaufort.

“Justeru itu, saya menyeru kepada semua pihak untuk memperbanyakkan lagi pelaksanaan program seumpama ini yang dapat membantu lebih ramai golongan memerlukan khususnya yang terkesan ketika pandemik COVID-19 kini,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan bakul makanan dari Kumpulan Sawit Kinabalu yang disampaikan Pengurus Besar Ladang Wilayah Pantai Barat Syed Khairul M Rasheed yang mewakili Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu Bacho Jansie.

Isnin yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, kerjasama seumpama itu perlu diteruskan dan berharap agar lebih banyak GLC di Sabah tampil membantu kerajaan meringankan beban rakyat demi kesejahteraan serta kelangsungan hidup.

Sementara itu, Syed Khairul berkata, program tersebut adalah sebahagian daripada CSR Kumpulan Sawit Kinabalu kepada rakyat di Sabah terutama mereka yang dilanda musibah serta berdepan cabaran ketika pandemik COVID-19.

“Kita akan meneruskan program seumpama ini dibeberapa buah daerah dan kawasan yang dikenakan PKPD di Sabah,”katanya.

Bakul makanan sumbangan Kumpulan Sawit Kinabalu itu akan disalurkan kepada penduduk terjejas khususnya dikawasan PKPD melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang diketuai Pegawai Daerah Beaufort Abdul Imam Basirun.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *