HomeUtamaSESB Tangguh Inisiatif Kemaskini Deposit Pengguna

SESB Tangguh Inisiatif Kemaskini Deposit Pengguna

Read Time:1 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU: Proses mengemaskini deposit pengguna yang sedang dilaksanakan oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sejak Mei 2021 iaitu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula akan ditangguh sementara.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, proses itu yang setakat ini melibatkan kurang 8% daripada jumlah pengguna SESB telah dibuat selepas mengambilkira pelbagai manafaat lain yang telah diberikan sebelum ini kepada pengguna.

Antaranya ialah pemberian rebat faedah deposit kepada semua pengguna-pengguna pada bulan Mac dan April lalu beserta pelan-pelan bantuan lain iaitu tiada pemotongan sehingga PKP 3.0 fasa 1 berakhir dan pelan bayaran balik mudah secara ansuran kepada yang memerlukan.

“Akan tetapi mengambilkira penguatkuasaan PKP 3.0 beserta peranan SESB di dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara, maka SESB akan menangguhkan proses kemaskini deposit tersebut,” katanya dalam satu
kenyataan media.

Beliau menjelaskan pelaksanaan mengemaskini deposit tersebut yang dilakukan setiap enam bulan adalah proses yang dibuat mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990 dan pengiraan amaun cagaran dibuat secara automatik melalui sistem pembilan berdasarkan kepada penggunaan elektrik pengguna yang terkini dengan nilai bersamaan dua bulan.

Dalam pada itu, Ir. Abdul Nasser turut menjelaskan bahawa SESB juga membuka ruang perbincangan dengan pengguna yang memerlukan pembayaran ansuran terhadap bil elektrik mereka berdasarkan kepada terma dan polisi yang ditetapkan oleh SESB.

Selain berkunjung ke mesin kios layandiri 24jam yang terdapat di pejabat SESB berkenaan, pengguna juga boleh menjelaskan bil elektrik mereka secara atas talian melalui bank-bank yang tersenarai serta saluran pembayaran lain seperti GrabPay, Shoppee, Lazada, Touch & Go, MyBoost, Pay Now, Richtech serta JomPay.

Pengguna juga digalakkan untuk berdaftar ke “Online Customer Service (OCS)” untuk kemudahan menyemak bil dan membuat pembayaran secara atas talian dengan melayari di laman https://ocs.sesb.com.my.

Untuk sebarang pertanyaan, pengguna juga boleh menghubungi SESB Careline 15454, 088-515000 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 019- 852 5427.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular