COVID-19 Terus Melonjak Di Indonesia

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 12 Second

AGENSI

JAKARTA: Kes COVID-19 Indonesia melonjak mendadak sebulan selepas cuti Aidilfitri apabila merekodkan lebih 12,000 kes selama tiga hari berturut-turut, membabitkan varian Delta yang pantas menular.

Jurucakap Pasukan Petugas COVID-19, Wiku Adisasmito, berkata jumlah kes meningkat dengan ketara dalam beberapa hari terakhir.

Rabu lalu, 9,944 kes baharu direkodkan diikuti 12,624 kes (Khamis), 12,990 kes (kelmarin) dan 12,906 kes semalam, meningkatkan jangkitan kepada 1,976,172 kes termasuk 54,291 kematian.

Kata Adisasmito, berdasarkan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR), kadar positif juga meningkat kepada 45.5 peratus kelmarin dan 39.79 peratus semalam.

“Jumlah kes baharu juga meningkat 112.22 peratus dalam empat minggu terakhir, berbanding selepas cuti Aidilfitri yang panjang tahun lalu dengan hanya 93.11 peratus.

“Kenaikan terbaru pertama kali dikesan di wilayah Kudus, Jawa Tengah dan wilayah Bangkalan, Jawa Timur pada minggu pertama Jun.

“Ia kemudian merebak ke daerah lain, menyebabkan kesesakan kemudahan perubatan dan memaksa beberapa hospital menutup unit kecemasan,” katanya.

Ahli Epidemiologi Universitas Airlangga di Jawa Timur, Windhu Purnomo, berkata peningkatan kegiatan sosial dan kurang pematuhan protokol kesihatan serta pengesanan kontak yang terhad adalah penyebab peningkatan kes berkenaan.

“Ada ramai orang yang tidak menggunakan pelitup muka di tempat awam, termasuk di dalam kenderaan awam dan pasar,” katanya.

Jakarta, yang berpenduduk padat, semalam mencatat 4,895 kes tambahan dalam tempoh 24 jam iaitu jumlah tertinggi.

Kini, 89 peratus daripada 8,924 katil dikhaskan untuk pesakit COVID-19 sudah dipenuhi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *