HomeUtamaDaftar Vaksin Covid-19 Dari Rumah Ke Rumah Berkesan Di Sekong

Daftar Vaksin Covid-19 Dari Rumah Ke Rumah Berkesan Di Sekong

Read Time:1 Minute, 43 Second

SANDAKAN : Setelah lebih dua jam stesen pendaftaran vaksin COVID-19 di Pulau Timbang dan Pulau Sanghai di sini dibuka Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) melalui Program Outreach baru-baru ini namun bilangan penduduk tampil mendaftar, tidak sampai 50 orang.

Menyedari sambutan dingin penduduk terhadap stesen pendaftaran yang dibuka sejak 7 pagi itu walaupun hebahan mengenainya telah dibuat lebih awal, membuatkan petugas CITF menukar pendekatan dengan melakukan pendaftaran dari rumah ke rumah.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sekong Hazulizah Md Dani berkata pendekatan itu ternyata berkesan apabila bilangan penduduk berjaya didaftarkan sebagai penerima vaksin COVID-19 di dua pulau di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong itu melebihi sasaran ditetapkan.

“Hingga 6 petang, seramai 626 orang melibatkan 13 kampung di zon kepulauan Sekong telah berjaya didaftarkan melalui Program Outreach CITF.

“Angka ini melepasi sasaran untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 200 penduduk bagi membolehkan petugas kesihatan datang ke pulau menjalankan pemberian vaksin,” katanya kepada Bernama kelmarin.

Hazulizah berkata rata-rata penduduk yang ditemui pihaknya, Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan serta Jabatan Penerangan menyatakan bahawa mereka takut disuntik selain risau komplikasi selepas divaksin kerana terpengaruh dengan khabar angin atau berita palsu.

“Alhamdulillah, selepas diberikan penerangan, ramai mula yakin untuk menerima vaksin dan bersetuju didaftarkan serta-merta,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Promosi Kesihatan Sandakan Joumil Ekim berkata sasaran yang dicapai itu memudahkan pihaknya untuk menjalankan program imunisasi di pulau berkenaan.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Sekong Datuk Samsudin Yahya yang turut menyertai program itu berkata beliau sudah divaksin dan kini mahu membantu CITF menjelaskan kebaikan pengambilan vaksin kepada penduduk.

“Saya boleh memberitahu vaksin ini selamat untuk semua malah lebih yakin dengan kesihatan saya,” kata ahli politik berusia 66 tahun itu.

Ketua Kampung Tronglit, Lajim Sumadin pula berkata beliau bersama beberapa penduduk telah mengambil pendekatan mengetuk pintu setiap 54 rumah di kampung itu untuk menjelaskan kebaikan dan keperluan pengambilan vaksin.

“Saya menggunakan pengalaman diri yang sudah divaksin sebagai contoh terbaik untuk meyakinkan penduduk,” katanya dengan menambah berjaya meyakinkan lebih 150 penduduk kampung itu untuk mendaftar sebagai penerima vaksin dengan senarai nama mereka sudah diserahkan kepada klinik kesihatan. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tuan rumah ATE 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular