Sabah Yakin Mampu Capai 30,000 Orang Terima Vaksin Setiap Hari

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah yakin mampu mencapai sasaran seramai 30,000 orang penduduk di negeri ini akan diberi vaksin setiap hari mulai bulan depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keyakinan itu mampu dicapai dengan pembukaan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) selain program bergerak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) di kawasan luar bandar serta bantuan daripada sektor swasta.

“Saya juga telah mengarahkan semua Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) di seluruh Sabah untuk menggerakkan proses pendaftaran secara agresif di semua daerah bagi mempercepatkan program vaksinasi.

“Kita juga berharap Sabah akan dapat mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini dimana kerajaan negeri akan memperhebatkan lagi usaha dan strategi yang akan menyaksikan 2.9 juta penduduk menerima suntikan vaksin,”katanya.

Beliau berkata ketika melancarkan Kempen Sifar Pandemik COVID-19 secara virtual di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) disini hari ini.

Hadir sama, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Shahelmi Yahya; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Sr Safar Untong dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi.

Hajiji turut menggesa agar rakyat di Sabah untuk mendaftar bagi mendapatkan suntikan menerusi pelbagai platform yang disediakan oleh kerajaan agar matlamat untuk mencapai angka sifar kes harian dapat dicapai.

“Adalah amat penting agar rakyat dan kerajaan bekerjasama dalam memerangi pandemik ini dan kita tidak mahu negeri ini mengalami lonjakan mendadak dalam kes positif yang mengakibatkan kematian,” katanya.

Selasa lalu, Hajiji mengumumkan sebanyak 16 PPV baru dibuka bulan ini sebagai tambahan kepada 95 yang kini beroperasi bagi membantu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang mula diperluas kepada penduduk Sabah berumur 18 tahun ke atas.

Ketika ini, sebanyak 72 fasiliti kesihatan dan 23 PPV awam beroperasi di seluruh negeri. Sehingga 19 Jun lalu, seramai 326,556 orang termasuk anggota tentera telah menerima dos pertama dalam fasa pertama dan kedua.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *