Proses Vaksinasi di Zon Pedalaman Sabah Berjalan Lancar

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 18 Second

KENINGAU: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Ekonomi) Datuk Arthur Joseph Kurup mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Masyarakat Sook hari ini.(22 Jun)

Arthur berkata, sehingga 18 Jun 2021, penerima vaksin di seluruh Negeri Sabah berjumlah 306,280 orang bagi dos pertama, dan 122,485 orang bagi dos kedua , manakala bagi Zon Pedalaman Sabah, Daerah Keningau, Daerah Nabawan, Daerah Tenom dan Daerah Tambunan pula adalah sebanyak 28,140 orang bagi dos pertama, dan 11,755 orang untuk dos kedua.

“Ini menunjukkan kadar vaksinasi adalah 10.44% bagi dos pertama dan 4.18% bagi dos kedua, daripada populasi Sabah dan proses pemberian vaksin dilihat telah berjalan dengan lancar,” kata Arthur yang juga Ahli Perlimen Pensiangan.

Dalam pada itu, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Masyarakat Sook yang mula beroperasi pada 21 Jun 2021 dijangka dapat mencapai kapasiti sehingga 400 dos sehari (dos satu dan dos 2).

PPV ini membolehkan lebih ramai masyarakat di Daerah Kecil Sook dan kawasan sekitarnya mendapatkan suntikan.

Ini akan dapat meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan rakyat khususnya di kawasan pedalaman Sabah dengan lebih cepat.

Dalam perkembangan lain, Sebanyak lima PPV di kawasan Parlimen Pensiangan sedang beroperasi iaitu di Klinik Kesihatan Nabawan, Dewan Masyarakat Sook, Balai Budaya Salarom Taka, Klinik Kesihatan Pagalungan, dan Klinik Kesihatan Pensiangan.

Jesteru itu, permohonan kepada Jawatankuasa Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 telah dibuat bagi membuka satu lagi PPV di Daerah Nabawan iaitu di Dewan Masyarakat Nabawan untuk menampung bilangan penduduk yang ramai.

“Bagi kawasan-kawasan terpencil di pedalaman Sabah yang kurang akses kepada perhubungan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pejabat Daerah akan mengadakan program outreach secara berkala bagi memastikan penduduk di kawasan tersebut mendaftar dan mendapatkan vaksin.

“Kempen kesedaran vaksin juga terus ditingkatkan di kawasan tersebut melibatkan Jabatan Penerangan, KKM, Pejabat Daerah dan MKN bagi memastikan masyarakat faham akan kepentingan vaksin,” katanya.

Bagi mengekalkan momentum proses pemberian vaksin, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dipohon memberi pertimbangan untuk menghantar lebih banyak bekalan vaksin ke negeri ini.

Walaupun terdapat peningkatan jumlah penerima namun masih terdapat ramai dalam kalangan penduduk diluar bandar belum menerimanya atas faktor komunikasi dan perhubungan.

Bagi meningkatkan liputan internet dan talian telefon yang lebih baik, Kerajaan dibawah Program JENDELA akan membina sebanyak 584 menara baharu di seluruh Sabah sehingga tahun 2022 dan sebanyak 40 menara baharu dibina di kawasan Parlimen Pensiangan.

Selain itu, projek menaik taraf jalan dari Sapulut ke Pekan Pagalungan yang sedang dalam pelaksanaan akan dapat meningkatkan akses kepada perhubungan darat yang lebih cepat dan mudah.

Sementara itu, sebanyak lima unit komputer riba dan sepuluh unit khemah serta beberapa peralatan keperluan lain disumbangkan kepada kepada Pejabat Kesihatan Daerah Keningau untuk kemudahan serta keselesaan kepada penduduk semasa proses pendaftaran sehingga ke proses penerimaan vaksin sepanjang Program Vaksinasi di kawasan Parlimen Pensiangan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *