COVID-19 : Sabah Catat Peningkatan Kes Positif, Rekod 1 Kematian Di Kota Kinabalu

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU : Sabah mencatatkan peningkatan kes COVID-19 sebanyak 74 kes iaitu daripada 129 kes semalam kepada 203 kes hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes sembuh turut mencatatkan angka lebih tinggi berbanding kes positif iaitu sebanyak 220 kes dengan jumlah kematian direkodkan sebanyak satu kes di Kota Kinabalu.

“Daripada 203 kes jangkitan baharu hari ini, 112 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 68 kes adalah daripada saringan kluster, 10 kes adalah daripada saringan bergejala dan 13 kes adalah daripada lain-lain kes.

“13 daerah mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan lapan daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu angka, manakala lima lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua angka iaitu Kinabatangan 29 kes (+29), Sandakan 31 kes (+27), Kalabakan 24 kes (+22), Beaufort 17 kes (+15) dan Penampang 19 kes (+13),” katanya.

Masidi berkata, walau bagaimanapun, sembilan daerah di Sabah mencatatkan penurunan kes. Tujuh daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu angka, manakala dua daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua angka iaitu Papar (-17) dan Kota Kinabalu (-12).

Katanya, pada hari ini, sembilan daerah mencatatkan sifar kes iaitu Beluran, Kunak, Tongod, Pitas, Kuala Penyu, Sipitang, Tenom, Nabawan dan Tambunan.

“Terdapat trend perubahan angka jangkitan baharu harian yang tidak statik serta jumlah catatan sebanyak 112 kes daripada Saringan Kontak Rapat, maka dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak Kerajaan.

“Orang ramai digesa untuk kekal berada di rumah dan bagi mereka yang bekerja, hadkan pergerakan kerana kebergantungan penurunan kes atau jangkitan baharu adalah sangat dipengaruhi oleh sejauh mana komuniti mematuhi SOP Kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri,”katanya

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *