Permohonan Suntikan Vaksin Covid-19 Melebihi Bekalan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 14 Second

TAMBUNAN: Permohonan bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di daerah ini melebihi bekalan yang disediakan. 

Pegawai Daerahnya, Jumain Abdul Ghani berkata, sambutan bagi program vaksinasi Covid-19 adalah sangat memberangsangkan sehingga pejabat kesihatan tidak menang tangan.

“Bekalan vaksin juga tidak mencukupi bagi menampung jumlah penduduk yang ingin mendapatkan suntikan vaksin tersebut.

“Bukan sahaja mendaftar melalui aplikasi MySejahtera, terdapat juga penduduk yang mengambil inisiatif memberikan senarai nama penduduk yang ingin divaksin agar program vaksin dapat dilakukan di kampung mereka.  

“Seperti yang diumumkan kerajaan, kita berharap jumlah vaksin yang diberikan bagi daerah ini akan ditambah pada bulan Julai supaya program seumpamanya dapat dipergiat pada peringkat kampung pula. 

“Hal ini perlu dilihat sebagai satu cabaran bagi pihak atasan dalam merealisasikan imuniti berkelompok di kawasan luar bandar,” katanya ketika ditemui media dalam Program Taklimat, Daftar dan Vaksin Covid-19 di Mini Dewan Kampung Patau, baru-baru ini.

Tambah beliau, hebahan maklumat daripada Jabatan Penerangan Sabah (JaPen) di daerah itu antara faktor yang menjadikan masyarakat di kawasan luar bandar menerima baik program vaksin tersebut.

“JaPen menjalankan tugas sebagai penyebar maklumat termasuk di kawasan luar bandar yang mempunyai masalah capaian internet seperti di mukim ini. 

“Kita mengharapkan jalinan kerjasama yang baik dapat diteruskan agar program vaksin pada peringkat kampung nanti dapat dilaksanakan dengan lebih efektif,” katanya lagi. 

Program vaksin melibatkan tujuh buah kampung di Mukim Patau itu berakhir sekitar 6.00 petang dengan seramai 297 orang penduduk menerima suntikan dos pertama, vaksin jenis Sinovac./PENERANGAN.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *