KRT Bantu Kerajaan Bendung Pandemik Covid-19

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 10 Second

KOTA MARUDU: Komuniti Rukun Tetangga (KRT) memainkan peranan penting dalam membantu pihak kerajaan membendung penularan Pandemik Covid-19 di kawasan mereka masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, sumbangan KRT di peringkat akar umbi amat penting terutamanya dalam menyebarkan informasi berkenaan kempen vaksinasi Covid-19.

“Setiap KRT boleh melaksanakan program-program yang bersesuaian seperti kempen pendaftaran vaksin melalui kaedah media sosial, memberi penerangan mengenai pandemik Covid-19 dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa kepada masyarakat setempat.

“Ini adalah norma baharu yang perlu kita adaptasi, dan saya berharap kesemua KRT dapat membantu kerajaan dalam menyebarkan mesej yang positif, serta menyokong usaha perintah kawalan pergerakan dan mematuhi semua SOP yang ditetapkan,” jelas Maximus semasa merasmikan Seminar Gerak Kerja Perpaduan Negara dan Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tertangga 2021-2030 bagi daerah Kota Marudu secara maya, disini, hari ini.

“Mereka telah didedahkan kepada empat agenda kerja KRT yang mana merupakan inisiatif kearah usaha memperkasa kepimpinan KRT,” tambah beliau.

Terdahulu, Maximus telah mengumumkan peruntukan sejumlah RM 53,000 dan turut menyumbangkan sejumlah 200 kotak pelitup muka untuk KRT di daerah ini, sumbangan tersebut adalah dari Pejabat Parlimen P168 Kota Marudu.

“Di Kota Marudu, kita mempunyai 53 buah KRT dan selaras dengan norma baharu, mereka masih boleh melaksanakan program-program yang bersesuaian berdasarkan tempoh pergerakan terkini di negeri Sabah,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *