COVID-19 : 1 Kluster Dan 189 Kes Baharu Direkodkan Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 52 Second

KOTA KINABALU: Satu kluster baharu COVID-19 dicatatkan di Sabah melibatkan penularan jangkitan di pusat tahanan di daerah Tawau.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes indeks banduan lelaki yang dibawa masuk dari Lokap Ibu Pejabat Daerah (IPD) Lahad Datu ke blok kuarantin di Blok Ehsan pada 11 Jun lalu disahkan positif dalam saringan hari ke-10 pada 21 Jun.

“Saringan sama turut merekodkan tiga lagi kes positif dalam kalangan penghuni sel terbabit pada 22 Jun.

“Berikutan penemuan itu, saringan kontak rapat yang dijalankan terhadap 61 warga tembok sehingga 23 Jun mendapati lima lagi kes positif terdiri daripada tiga warden dan dua banduan, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 bagi kluster ini sebanyak sembilan kes,”katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya, aktiviti pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan dan punca jangkitan masih dalam siasatan.

Sementara itu, Masidi berkata, Sabah mencatatkan peningkatan jumlah kes positif COVID-19 sebanyak 33 kes iaitu daripada 156 kes semalam kepada 189 kes hari ini.

Katanya, daripada 189 kes jangkitan baharu hari ini, 99 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, sembilan kes adalah daripada saringan kluster, 17 kes adalah daripada saringan bergejala, 58 kes daripada saringan bersasar dan enam kes adalah daripada lain-lain kes.

“Sembilan daerah mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan enam daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu angka, manakala tiga lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua angka iaitu Kudat 56 kes (+51), Kota Marudu 21 kes (+20) dan Kota Belud 20 kes (+15).

“Tiga daerah lain yang mencatatkan kes baharu pada hari ini iaitu Penampang lima kes, Pitas satu kes dan Semporna satu kes kekal sebagaimana jumlah kes semalam,”katanya.

Walau bagaimanapun katanya, 11 daerah di Sabah mencatatkan penurunan kes dimana sembilan daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu angka, manakala dua daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua angka iaitu Sandakan (-23) dan Tawau (-22).

“Pada hari ini, lapan daerah mencatatkan sifar kes Beluran, Telupid, Tongod, Kuala Penyu, Sipitang, Tenom, Nabawan dan Tambunan.

“Orang ramai digesa untuk kekal berada di rumah dan bagi mereka yang bekerja, hadkan pergerakan kerana kebergantungan penurunan kes atau jangkitan baharu adalah sangat dipengaruhi oleh sejauh mana komuniti mematuhi SOP Kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *