COVID-19 : Kes Tinggi Disumbang Hasil Saringan Besar-Besaran Di Lokaliti PKPD

Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU : Sabah mencatatkan angka kes positif COVID-19 yang tinggi sebanyak 258 kes hari ini dengan peningkatan jumlah sebanyak 68 kes berbanding 190 kes pada hari kelmarin.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, daripada 258 kes jangkitan baharu hari ini sebanyak 93 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat.

“Selain itu sebanyak 99 kes adalah daripada saringan kluster, 16 kes adalah daripada saringan bergejala, 36 kes daripada saringan bersasar dan 14 kes lagi adalah daripada lain-lain kes.

“11 daerah turut mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan tujuh daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu angka, manakala empat lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua angka iaitu Kota Kinabalu; Kinabatangan; Tawau; dan Keningau,”katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, walau bagaimanapun, 12 daerah di Sabah mencatatkan penurunan kes pada julat satu angka.

Katanya, pada hari ini sebanyak lapan daerah mencatatkan sifar kes iaitu Beluran, Telupid, Kunak, Tongod, Ranau, Tuaran, Sipitang dan Nabawan.

Dalam pada itu, Masidi berkata, daerah Kota Kinabalu mencatatkan angka kes tertinggi hari ini dengan jumlah sebanyak 71 kes positif COVID-19.

Katanya, daripada jumlah itu, 30 kes adalah daripada saringan kluster sedia ada iaitu Kluster Tembok Kota Kinabalu (Penjara Kepayan) sebanyak 27kes, Kluster Samedra dua kes dan Kluster Jalan Bundusan satu kes.

“Selain itu, turut menyumbang kepada peningkatan kes di Kota Kinabalu ialah 18 kes berpunca dari saringan bersasar, 12 kes dari saringan kontak rapat dan 11 kes berpunca dari pelbagai saringan.

“Bagi daerah Kudat merekodkan sebanyak 36 kes dimana dari jumlah itu, sebanyak 19 kes berpunca dari saringan kontak rapat, 16 kes dari saringan bersasar dan satu kes dari saringan bergejala.

“Manakala bagi Keningau yang mencatatkan 23 kes pada hari ini keseluruhannya berpunca daripada saringan kluster Kuarters Bata Durok, iaitu kluster yang berpunca dari kilang bata di Keningau,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.