HomeIsu tempatanProgram Munajat Secara Maya Mohon Jauhkan COVID-19 di Labuan

Program Munajat Secara Maya Mohon Jauhkan COVID-19 di Labuan

Read Time:1 Minute, 31 Second

LABUAN: Kira-kira 100 warga pendidik, ibu bapa dan pelajar di sekitar Wilayah Persekutuan Labuan menyertai program munajat bacaan Yaasin dan doa secara maya untuk memohon kesihatan dan keselamatan penduduk Labuan daripada ancaman berterusan COVID-19.

Program anjuran Panitia Pendidikan Islam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Perumahan Bedaun itu diadakan secara dalam talian selepas solat Maghrib pada Jumaat lalu sebagai antara sumbangan warga pendidik di pulau itu untuk sama-sama berusaha membendung penularan COVID-19.

Penyelaras program, Mohd Daud Abdul Rahman, berkata tujuan utama program itu adalah untuk mendoakan kesihatan dan keselamatan warga pendidik, petugas barisan hadapan, murid dan pelajar, keluarga serta masyarakat agar terhindar daripada ditimpa musibah COVID-19.

“Program ini juga bertujuan untuk memohon kepada Allah SWT agar mereka yang dijangkiti COVID-19 kembali sembuh dengan segera dan berdoa agar negara kita serta dunia akan bebas daripada pandemik ini.

“Di samping itu, kita juga mendoakan kesembuhan untuk seorang pelajar tingkatan satu SMK Taman Perumahan Bedaun, Muhammad Najman Nazmi yang menghidap penyakit buah pinggang,” katanya, dalam kenyataan, di sini.

Program itu turut disertai Pengarah Pendidikan Labuan, Yusup Mohamad; Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Labuan, Kamariah Salim dan Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun, Ag Rozlan Manan.

Sementara itu, Ag Rozlan berkata program itu adalah sebahagian daripada usaha pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dalam menangani pandemik COVID-19 di pulau bebas cukai itu.

Beliau turut mengambil kesempatan untuk memohon kerjasama ibu bapa supaya sama-sama memantau pembelajaran anak-anak di rumah berikutan tempoh pelaksanaan Pengajaran dan Pembalajaran di Rumah (PdPR) yang masih panjang.

“Walaupun PdPR tidak sama dengan pembelajaran secara bersemuka, namun dengan adanya kerjasama daripada ibu bapa, anak-anak tidak akan tercicir dalam pembelajaran,” katanya.

Labuan merekodkan kes COVID-19 yang tinggi sejak bulan lalu dengan kumulatif setakat ini mencecah 7,812 kes dengan lebih 100 kematian.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

35 pelajar TARUMT hadir sebagai pemerhati sidang DUN Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya