STPM 2020 : Sabah Catat Peningkatan Peratus Lulus, 72 Calon Peroleh PNGK 4.00

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU : Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 di negeri ini menyaksikan seramai 72 orang calon mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 iaitu peningkatan berbanding keputusan STPM 2019.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Dr Mistirine Radin berkata, keputusan itu merupakan peningkatan pencapaian peratus lulus sebanyak 0.07 peratus.

“Gred Purata Nilai Keseluruhan (GPNK) Sabah, pada tahun lalu adalah sebanyak 2.71 berbanding 2.67 pada tahun sebelumnya. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.04 mata gred.

“Manakala perbezaan GPNK antara Negeri dan Negara adalah sebanyak 0.07 mata gred pada tahun 2020 berbanding 0.10 pada tahun 2019 menunjukkan perbezaan GPNK semakin mengecil,”katanya dalam kenyataan disini malam ini.

Dr Mistirine berkata, dari segi kelulusan peringkat principal bagi 2020, peratus calon yang lulus penuh 1 hingga 5 mata pelajaran adalah 98.93 peratus berbanding 98.86 peratus pada 2019.

Katanya, daripada 21 Mata Pelajaran STPM yang diduduki oleh calon-calon di Sabah pada tahun 2020, sebanyak sembilan Mata Pelajaran telah menunjukkan peningkatan dan pengekalan prestasi.

“Selain itu, sebanyak 58 buah sekolah telah mencapai kelulusan 100 peratus keputusan STPM pada tahun lalu.

“Sebanyak 25 buah pusat peperiksaan terletak di kawasan bandar dengan pencapaian lulus sebanyak 99.46 peratus manakala 77 buah sekolah di luar bandar mencapai lulus sebanyak 97.44 peratus.

“Ini menunjukkan jurang perbezaan lulus antara bandar dan luar bandar iaitu 2.02 peratus,”katanya.

Beliau berharap agar calon STPM 2020 dapat meneruskan budaya kecemerlangan dalam pelbagai bidang yang diceburi pada masa akan datang.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *