COVID-19 : Saringan Di Pusat Tahanan Sumbang Kes Tinggi Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU: Angka kes positif COVID-19 yang tinggi di Sabah hari ini berpunca dari hasil saringan bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Kluster Tembok.

Sabah merekodkan 322 kes baharu dimana daerah Tawau mencatatkan angka paling tinggi iaitu sebanyak 112 kes yang sebahagiannya hasil saringan daripada Kluster Tembok di Penjara Tawau sebanyak 97 kes.

Selain itu, Kota Kinabalu yang mencatatkan daerah kedua tertinggi kes positif sebanyak 72 kes dimana sebahagiannya adalah hasil saringan di PKPD Penjara Kepayan yang menyumbang sebanyak 26 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sebanyak 38.2 peratus atau 123 kes baharu hari ini adalah datang daripada Penjara Tawau dan Penjara Kepayan.

“Hampir kesemua yang terlibat merupakan tahanan atau banduan yang sedang menjalani hukuman dan kawasan berkenaan adalah ditempat yang terkawal.

“Secara keseluruhannya, 74 peratus adalah daripada kluster-kluster sedia ada dan kontak rapat yang diperolehi melalui saringan bersasar,”katanya ketika dihubungi Sabah Media disini hari ini.

Dalam pada itu, beberapa daerah lain turut mencatatkan kes baharu antaranya Kudat 34; Beaufort 34; Sandakan 19; Pitas 12; Kota Belud 11; Papar 6; Semporna 4; Putatan 4; Keningau 4 ; Kota Marudu 3; Penampang 3 ;Lahad Datu 2; Kalabakan 1 dan Tuaran 1.

Beberapa daerah lain mencatatkan sifar kes antaranya Telupid; Beluran; Kunak; Kinabatangan; Tongod; Sipitang; Kuala Penyu; Ranau; Tenom; Nabawan; dan Tambunan.

Terdahulu, semalam Sabah mencatatkan 230 kes positif COVID-19 dengan 165 kes sembuh selain merekodkan lima kematian.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *