KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Robert Tawik meminta Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) supaya menyediakan lebih banyak Troli Pemeriksaan (IT) untuk kemudahan penduduk Kampung Pangi dan Rayoh di Tenom.
“Troli Pemeriksaan tambahan akan membantu meringankan beban penduduk kampung yang bergantung pada keretapi untuk pergi ke sekolah, berniaga dan bekerja,” katanya.
Semasa lawatan kerja ke stesen keretapi di Tenom dan Pangi pada Jumaat, Robert meminta penggunaan mesin penyelenggaraan Suria Capital Engineering Services (SCES) untuk membantu penduduk, serta perancangan logistik untuk mengangkut bahan binaan dan pekerja ke tempat kerja.
Pada Mei lalu, banjir besar menyebabkan kerosakan teruk dan tanah runtuh di KM114 di Rayoh dan KM124 serta KM130 landasan keretapi Pangi.
Menurutnya, kerosakan pada landasan keretapi mengakibatkan penutupan sementara perkhidmatan untuk laluan Tenom-Pangi dan Rayoh.
Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin merangkap Menteri Kerja Raya ada menyatakan, bahawa Jabatan Keretapi Negeri masing-masing telah menyediakan ‘troli pemeriksaan’ (IT) di Rayoh dan Pangi sebagai pengganti perkhidmatan keretapi.
“Ini kerana hanya troli pemeriksaan yang dapat melalui kawasan trek yang rosak, yang mana penduduk kampung akan menaiki troli ke KM135 sebelum menaiki Diesel Multi Unit (DMU) ke Tenom,”katanya.
Bung Moktar mengatakan bahawa kapasiti maksimum troli adalah lapan orang dan tersedia sepanjang masa sekiranya berlaku kes kecemasan.
“Jabatan Keretapi negeri berusaha untuk meningkatkan jumlah troli di kawasan yang terjejas dan sekiranya berlaku kecemasan, orang ramai di sana dapat menghubungi jabatan itu untuk mendapatkan bantuan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Robert menaiki IT ke lokasi di mana tanah runtuh berlaku sebelum menuju ke stesen Pangi untuk bertemu dengan penduduk di sana dan membincangkan masalah yang mereka hadapi kerana penangguhan perkhidmatan keretapi.
Beliau berpuashati dengan langkah-langkah pemulihan yang diambil oleh Jabatan Keretapi Negeri untuk meringankan beban penduduk kampung.
Di antara langkah-langkah yang diambil adalah dengan melantik kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan, melaksanakan langkah-langkah sementara untuk memastikan perkhidmatan keretapi disambung secepat mungkin dan menyediakan IT agar penduduk kampung dapat membawa hasil pertanian mereka ke pasar.
“Untuk tujuan ini, Jabatan Keretapi Negeri bersetuju untuk menambah jumlah IT sementara SCES bersetuju untuk membantu dengan menggunakan mesin mereka untuk mengangkut hasil pertanian penduduk kampung sekurang-kurangnya dua kali seminggu sesuai permintaan mereka,” kata Robert.
Robert juga menggesa Pihak Berkuasa Tempatan dan polis di Tenom untuk membantu Jabatan Keretapi Negeri supaya kerja-kerja pembaikan dapat disegerakan.
Beliau juga mendesak penduduk kampung di daerah yang terlibat untuk membatasi pergerakan mereka keluar dari kampung dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan untuk mengelak penularan virus Covid-19.
Turut hadir semasa lawatan kerja itu Pengarah Jabatan Keretapi Negeri, Leonard Poyong, pegawai-pegawai jabatan serta wakil dari Pejabat Daerah Tenom, polis daerah dan pemimpin masyarakat.