COVID-19 : Saringan Besar-Besaran di Pulau Gaya Punca Peningkatan Kes Di Kota Kinabalu

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU : Saringan bersasar secara besar-besaran di Pulau Gaya membabitkan kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Pondo dan kampung berhampiran menjadi antara punca peningkatan kes COVID-19 di Kota Kinabalu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, daerah Kota Kinabalu hari ini merekodkan angka sebanyak 120 kes positif yang turut berpunca daripada saringan kluster baharu iaitu Kluster Bahtera Barat.

“Daripada jumlah yang direkodkan di Kota Kinabalu, Kluster Bahtera Barat mencatatkan lima kes yang sehingga kini mencatatkan 18 kes kumulatif dan saringan kontak rapat sebanyak 18 kes.

“Selain itu, saringan bersasar di Pulau Gaya mencatatkan 92 kes membabitkan Kampung Pondo (30 kes) dan Kampung Laban Pulau Gaya (62 kes),”katanya.

Katanya, selain itu saringan bergejala sebanyak empat kes dan satu  kes lagi daripada saringan lain-lain kes.

Dalam pada itu, Sabah hari ini merekodkan jumlah kes positif COVID-19 sebanyak 228 kes iaitu mencatatkan penurunan 94 kes berbanding 322 kes semalam.

Katanya, daripada jumlah kes yang direkodkan hari ini, sebanyak 84 kes adalah daripada Saringan Kontak Rapat;  Tujuh kes adalah daripada Saringan Kluster;  13 kes adalah daripada Saringan Bergejala; 115 kes daripada Saringan Bersasar  dan Sembilan kes adalah daripada Saringan lain-lain kes.

“Orang ramai digesa untuk kekal berada di rumah dan bagi mereka yang bekerja, hadkan pergerakan kerana kebergantungan penurunan kes atau jangkitan baharu adalah sangat dipengaruhi oleh sejauh mana komuniti mematuhi SOP Kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *