PKPD: 2 PKPD, 2 Lanjut, 3 Tamat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 8 Second

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Jambatan Baru, Membakut, Beaufort dan Blok 6, Kampung Titingan, Tawau berkuat kuasa 6 Julai sehingga 19 Julai 2021.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata dalam kenyataan media hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan situasi terkini kes COVID-19 di Kampung Jambatan Baru, Membakut, Beaufort dan KKM telah melakukan 20 ujian saringan dan 17 daripadanya dilaporkan positif COVID-19 dengan kadar positiviti 85.00%.

Manakala KKM melaporkan situasi terkini kes COVID-19 di Blok 6, Kampung Titingan,Tawau melakukan 17 ujian saringan dan sembilan
daripadanya dilaporkan positif COVID-19 dengan kadar positiviti 52.94%.

“Pelaksanaan PKPD bertujuan untuk menyekat penularan virus dan memastikan penduduk yang berisiko dijangkiti COVID-19 kekal berada dalam kawasan,”kata Masidi yang juga Jurucakap Rasmi COVID-19 Negeri.

Walau bagaimanapun dua lokaliti dilanjutkan PKPD iaitu Kampung Jaya Baru, Kunak dan Kampung Serudung Baru, Tawau bermula 6 Julai sehingga 19 Julai 2021.

KKM mendapati penularan masih berlaku dalam komuniti serta terdapat kes baharu di rekodkan di lokaliti tersebut.

Menurut Masidi, tiga lokaliti ditamatkan PKPD Ladang Brumas, Kalabakan, Kampung Pulutan, Nabawan dan Taman Wijaya Park, Kota Kinabalu pada 5 Julai 2021 seperti yang dijadualkan.

“KKM mengesahkan berlaku penurunan kes di tiga lokaliti yang ditamatkan PKPD dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah menerima rawatan,”jelasnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *