HomeIsu tempatanKerajaan Sabah Mahu Tingkat Sasaran Tenaga Kerja Dengan Asas Sains & Teknologi

Kerajaan Sabah Mahu Tingkat Sasaran Tenaga Kerja Dengan Asas Sains & Teknologi

Read Time:2 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah mahu meningkatkan sasaran kekuatan tenaga kerja dengan asas sains dan teknologi (S&T) menerusi pelbagai aktiviti dan program termasuk penganjuran Karnival Sains Sabah 2021.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berkata, langkah bagi mencapai hasrat itu adalah dengan memastikan nisbah pelajar sains berada pada tahap 60 peratus berbanding 40 peratus pelajar dalam jurusan sastera.

“Hakikatnya hari ini, kita amat jauh sekali dari sasaran tersebut dan berdasarkan kaji selidik dijalankan Akademi Sains Malaysia, hanya 20 peratus sahaja dari kalangan pelajar di Malaysia mengambil jurusan sains pada masa kini.

“Ini adalah kerana masih ramai yang beranggapan sains itu satu ilmu atau bidang yang sukar dan ramai pelajar sekolah tidak berminat untuk mengikuti jurusan sains atas alasan tersebut,” katanya ketika melancarkan Karnival Sains Sabah 2021 secara maya disini, hari ini.

Hadir sama Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Seri Dr Ruddy Awah; Setiausaha Tetap KSTI Sabah Jasmine Teo dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Dr Mistrine Radin.

Yakub berkata, kerajaan amat memandang berat tentang perkara ini dan sedang berusaha keras untuk menambah baik keadaan tersebut.

Katanya, pelbagai langkah telah dan sedang diambil untuk mencapai matlamat 60 peratus rakyat dan pelajar yang berpengetahuan serta berkemahiran dengan asas sains.

“Antara aktiviti yang perlu dilaksanakan secara konsisten, adalah mendekati masyarakat di pelbagai peringkat dan memperkenalkan apa itu sains, teknologi dan inovasi (STI) dan kepentingan STI dalam kehidupan seharian kita.

“Adalah menjadi tanggungjawab KSTI untuk membudayakan sains kepada masyarakat, dan mengubah persepsi orang ramai kepada sains itu mudah serta menjadikan sains sebagai sebahagian daripada kehidupan kita,”katanya.

Katanya, kerajaan  juga mempunyai peranan yang penting dalam merangka kemajuan kerjaya berteraskan STI sebagai pendorong kepada generasi akan datang untuk mengambil bidang ‘Science, Technology, Engineering and Mathematics’ atau STEM.

Sementara itu, Yakub berkata, dalam tempoh 20 tahun akan datang, 60 peratus kerja yang anak-anak belajar ketika ini, tidak akan wujud lagi.

Katanya, bidang kerja yang akan wujud ketika itu adalah berdasarkan STI dan tidak mempunyai pilihan melainkan mengutamakan pendidikan STEM sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran pada masa mendatang.

“Justeru itu, bagi mencapai hasrat ke arah sebuah negara yang maju dan progresif, adalah diharapkan semua pihak dapat membantu usaha murni kerajaan dengan menggalakkan anak-anak anda untuk memilih jurusan sains di peringkat sekolah menengah dan seterusnya memilih kerjaya serta berkecimpung dalam bidang sains.

“Pembudayaan STI merupakan misi kementerian dalam menjadikan STI sebahagian daripada budaya dan cara hidup kepada masyarakat negara ini terutama dalam kalangan remaja dan orang dewasa,”katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lebih 100 pengunjung meriahkan Christmas @ KK Sentral Riverside Market

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular