Kerajaan Negeri sumbang RM148,700 untuk sambutan Hari Guru 2021

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 11 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menyumbang sebanyak RM148,700 kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah untuk sambutan Hari Guru Peringkat Negeri tahun 2021.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor telah menyerahkan sumbangan tersebut kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Datuk Dr Mistirine Radin di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), hari ini.

Kata Hajiji, sumbangan tersebut sebagai mengenang jasa dan sumbangan guru-guru dan warga pendidikan di Sabah.

Dalam pada itu, Hajiji turut menyampaikan Anugerah Tokoh Kepimpinan sempena Hari Guru Negeri Sabah 2021 kepada Datuk Maimunah Suhaibul.

Maimunah,60, merupakan mantan Pengarah Bahagian Profesionalisma Guru Kementerian Pendidikan Malaysia dan mantan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah.

Salah satu sumbangan Maimunah ialah usaha beliau memperjuangkan Guru Interim Pendidikan Islam di Sabah sehingga berjaya dan memberi peluang kepada ramai graduan
agama di negeri ini.

Turut disampaikan anugerah Tokoh Guru kepada mantan Pengetua Cemerlang (Jusa C) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanzac Kota Kinabalu, Dr.Shirley Tay Siew Hong, 60, beliau telah berkhidmat selama 31 tahun dalam dunia pendidikan.

Sementara itu, Maimunah menerima kalung loket emas, wang tunai RM3000 sumbangan Bank Islam Malaysia dan sijil penghargaan.

Manakala, Dr.Shirley pula menerima kalung loket emas, RM3000 Sijil Simpanan Premium sumbangan Bank Simpanan Nasional (BSN) dan sijil penghargaan.

Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong, Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Khan Bahadar dan Timbalan
Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri, Abidin Marjan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *