COVID-19 : Kes Sembuh Lebih Tinggi Banding Kes Baharu, 3 Kes Kematian Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU : Sabah mencatatkan kes pulih sepenuhnya lebih tinggi berbanding kes baharu COVID-19 iaitu sebanyak 345 orang selain turut merekodkan tiga kes kematian masing-masing satu kes di Kota Kinabalu; Kalabakan dan Semporna.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, bagi jumlah kes positif COVID-19 di Sabah hari ini mencatatkan sebanyak 326 kes iaitu terdapat penurunan 44 kes berbanding 370 kes semalam.

“Daripada jumlah kes baharu itu, sejumlah 123 kes telah direkodkan di Kota Kinabalu pada hari ini dimana sebanyak 42 kes berpunca daripada saringan kontak rapat dan 40 kes daripada saringan bersasar.

“Manakala 20 kes daripada saringan kluster dengan pecahan Kluster Tembok Kota Kinabalu 10 kes, Kluster Agora Borneo lapan kes dan Kluster Lorong Berjaya dua kes selain 11 kes daripada saringan bergejala dan 10 kes lagi daripada lain-lain saringan,”katanya dalam kenyataan disini malam ini.

Masidi berkata, saringan bersasar yang dilakukan berjaya mengesan kes positif di lokaliti Lok Urai, Pulau Gaya (31 kes), Bandaran Berjaya (8 kes) dan Pasar Besar Kota Kinabalu (3 kes).

Katanya, Kluster Tembok Kota Kinabalu adalah kluster dari Penjara Kepayan, manakala Kluster Agora Borneo adalah kluster dengan kes indeks daripada Pasaraya Bataras 1Borneo dan Kluster Lorong Berjaya pula ialah kluster melibatkan premis perniagaan dan kuarters pekerja di Bandaran Berjaya.

“Sehingga kini, sebanyak 15 lokaliti telah dikenakan PKPD di Daerah Kota Kinabalu.

“Orang ramai digesa untuk terus mematuhi SOP dengan sentiasa mengamalkan 3W (wash, wear & warn) serta menjauhi 3C iaitu (crowded, confined & closed) agar penularan virus COVID-19 dapat dikekang,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *