Program ‘Outreach’ Vaksinasi Tenom Bukti Rakyat Luar Bandar Tidak Sabar Terima Vaksin

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 58 Second

TENOM : Kerajaan Pusat diminta untuk segera melaksanakan penghantaran vaksin COVID-19  ke Sabah seperti yang dijanjikan sebelum ini bagi menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) selain permintaan tinggi penduduk luar bandar menerusi Program Jangkauan Luar (Outreach) yang dilaksanakan di seluruh negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Datuk Raime Unggi berkata, rakyat dinegeri ini khususnya di luar bandar amat memerlukan dan menyokong penuh pelaksanaan PICK meskipun terdapat kesukaran untuk membuat pendaftaran menerusi MySejahtera ataupun laman sesawang.

“Saya faham kekangan rakyat khususnya di luar bandar yang mungkin sukar untuk membuat pendaftaran melalui MySejahtera namun semangat mereka amat tinggi sekali dan lihat sahaja melalui pelaksanaan Program Jangkauan Luar di sini.

“Ramai yang keluar untuk mendapatkan vaksinasi kali ini, ternyata tanpa pendaftaran MySejahtera mereka juga boleh membuat pendaftaran secara manual.  Saya juga difahamkan, penduduk luar bandar menanti untuk divaksinasi namun permintaan rakyat lebih tinggi berbanding bekalan vaksin yang dibekalkan ke Sabah,”katanya kepada Sabah Media disini hari ini.

Raime berkata, kerajaan pusat tidak seharusnya melihat kesukaran rakyat membuat pendaftaran melalui MySejahtera tetapi perlu melihat kepada permintaan penduduk yang sentiasa meningkat.

Beliau turut difahamkan ada rakyat yang membuat pendaftaran pada Februari namun sehingga kini masih belum diberi vaksinasi dibawah PICK.

“Kerajaan Sabah telah melaksanakan pelbagai program untuk menjayakan PICK di negeri ini dan saya difahamkan Sabah akan menerima 1 juta dos secara berperingkat pada bulan ini namun proses pemberian vaksin masih agak perlahan.

“Kita tidak mahu kesungguhan rakyat untuk menerima vaksin itu luntur, ia perlu disegerakan dan tidak perlu ‘pilih bulu’ dalam penghantaran bekalan ke negeri-negeri, sasaran kita yang utama adalah imuniti kelompok itu dapat dicapai dengan segera dan kita dapat menikmati kehidupan seperti biasa,”katanya.

Raime turut menambah, permintaan untuk menyegerakan penghantaran bekalan vaksin ini adalah selaras dengan seruan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor Dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mahu proses vaksinasi kepada rakyat Sabah dapat dipercepatkan bagi mencapai imuniti kelompok.

Sebelum ini Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmey Yahya menyatakan Sabah akan menerima vaksin sebanyak 1 juta dos pada bulan ini yang dihantar secara berperingkat.

Ia selepas dimaklumkan Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin awal bulan ini.

Selepas itu Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji turut memaklumkan bahawa Sabah akan menerima tambahan 1.2 juta lagi dos vaksin pada bulan Ogos depan menjadikan jumlah yang akan diterima sebanyak 2.2 juta dos pada Julai dan Ogos.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *