PICK : Lebih 20 Program MOVAK Akan Dilaksana, Sasar Penduduk Luar Bandar Terima Vaksin

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 17 Second

RANAU : Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional akan melaksanakan lebih 20 program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di negeri ini yang mensasarkan kepada penduduk luar bandar dalam pemberian vaksin.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmey Yahya berkata, program inisiatif Kementerian Perpaduan Negara dengan kerjasama Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Sabah itu telah mula dilaksanakan sejak 21 Jun lalu.

“Sebelum ini kita telah melaksanakan tujuh program jangkauan luar (outreach) di seluruh Sabah dan akan diteruskan ke daerah lain.

“Kita jangkakan akan ada lebih 20 lagi program MOVAK bakal dilaksanakan di negeri ini. Program ini mensasarkan golongan penduduk di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kampung Bongkud, Ranau bersempena program MOVAK, disini hari ini.

Hadir sama, Pembantu kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Abidin Madingkir dan turut berkesempatan mengadakan lawatan ke PPV Dewan Masyarakat Ranau.

Shahelmey berkata, menerusi program ini, Komuniti Rukun Tetangga (KRT) membantu dalam usaha mobilisasi penduduk luar bandar untuk mendapatkan vaksin di PPV yang dikenalpasti.

Katanya, pelaksanaan MOVAK di Kampung Bongkud berjaya memberi vaksin kepada 480 penerima.

“Setakat ini, Program outreach di negeri Sabah sudah mencapai kira-kira 30,000 penerima vaksin setakat ini.  Kita difahamkan bulan ini Sabah akan menerima vaksin sebanyak 1 juta dos dan ia akan sampai secara berperingkat setiap minggu dan akan ditambah lagi pada bulan Ogos, September dan Oktober.

“Jadi kita menjangkakan Program Imunisasi Covid Kebangsaan (PICK) negeri ini akan mencapai imuniti kelompok menjelang November ataupun sekitar awal Disember tahun ini,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *