HomeUtamaPasar Nelayan Kampung Pasir Putih Dinaiktaraf Sebagai 'One Stop Centre' Laksana Aktiviti...

Pasar Nelayan Kampung Pasir Putih Dinaiktaraf Sebagai ‘One Stop Centre’ Laksana Aktiviti Pemasaran Ikan

Read Time:1 Minute, 50 Second

PUTATAN : Kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan menaiktaraf pasar nelayan Kampung Pasir Putih yang akan dijadikan sebagai ‘One Stop Centre’ bagi menjalankan aktiviti pemasaran ikan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, LKIM telah memperuntukkan dana sebanyak RM450,000 bagi tujuan menaiktaraf pasar berkenaan.

“Selain menjadi pusat sehenti, pasar nelayan ini juga akan menjalankan aktiviti pendaratan ikan dan agropelancongan kerana lokasi ini sangat strategik dan berpotensi untuk dimajukan bagi manfaat nelayan dan masyarakat setempat.

“LKIM juga telah memperuntukkan sebanyak RM4.32 juta bagi negeri Sabah setakat ini bagi tahun semasa untuk bantuan baik pulih rumah di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan ke Pasar Nelayan Kampung Pasir Putih Putatan disini pagi tadi.

Katanya, peruntukkan bagi negeri Sabah itu juga meliputi naiktaraf pasar nelayan dan pembinaan pusat pengumpulan dan pengedaran ikan serta pembinaan dan baik pulih jeti-jeti nelayan.

Hadir sama, Pengarah LKIM Negeri Sabah, Sundralingam A/L Nagaiah dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PKK) Kota Kinabalu Datuk Arsit Sedi.

Sementara itu, Dr Ronald berkata, pendaratan ikan di seluruh Sabah bagi enam bulan pertama tahun ini telah merekodkan sebanyak 107,000 tan metrik dengan nilai sebanyak RM643 juta.

Katanya, bagi rekod pendaratan ikan di Pasar Nelayan Kampung Pasir Putih, Putatan pula adalah sebanyak 7,000 tan metrik dengan nilai RM35,000 bagi tempoh yang sama.

“Meskipun sektor perikanan berdepan dengan pelbagai cabaran ketika ini, bekalan ikan adalah mencukupi dan stabil bagi memenuhi keperluan negara.

“Purata bulanan bekalan ikan untuk tahun ini dijangka kekal stabil iaitu pada 169,000 tan metrik berbanding dengan keperluan negara sebanyak 125,000 tan metrik sebulan,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, Dr Ronald turut menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada 100 orang ahli nelayan PNK Kota Kinabalu.

Katanya, bantuan itu adalah sebagai sebahagian sumbangan MAFI Prihatin menerusi LKIM bersama-sama PNK bagi mengurangkan beban para nelayan yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

“Kebajikan semua golongan sasar termasuk nelayan serta jaminan rantaian bekalan makanan adalah keutamaan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sepanjang masa.

“Jabatan Perikanan Negara (DOF) dan LKIM akan terus memainkan peranan untuk memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan, membangunkan industri perikanan negara serta memastikan bekalan ikan negara mencukupi sepanjang masa,” katanya

RELATED ARTICLES
Utama

UMS utamakan kebajikan pelajar, sedia bantu Crisnanalina daftar pengajian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular