TAWAU: Sebanyak 56 buah rumah musnah dalam satu kebakaran di Kg Titingan (Blok 9,10 dan 11) dekat sini pada Isnin (19 Julai 2021).
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin, pihak balai menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 9.33 pagi.
Katanya, seramai 50 anggota bomba diketuai Ketua Zon, JBPM Zon Tawau, Penguasa Kanan Bomba II, Sukur Hatta bersama sembilan buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dikerah ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba dapat mengawal api dari merebak pada jam 10.55 pagi dan operasi memadamkan api tamat sepenuhnya pada jam 2.20 petang.
“Walau bagaimanapun tiada mangsa terlibat dalam kebakaran itu dan pasukan bahagian penyiasatan JBPM masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca serta jumlah keseluruhan kerugian,” katanya.