HomeUtamaCOVID-19 : Jangkitan Ditempat Kerja & Penularan Dalam Komuniti Cetus Kluster Baharu...

COVID-19 : Jangkitan Ditempat Kerja & Penularan Dalam Komuniti Cetus Kluster Baharu di Sabah

Read Time:1 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan dua kluster baharu COVID-19 hari ini membabitkan penularan jangkitan di tempat kerja dan jangkitan dalam kalangan komuniti.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, antara kluster terlibat iaitu Kluster Jalan Mat Salleh dan Kluster Nosoob Baru.

“Kluster Jalan Mat Salleh yang dikategorikan sebagai kluster tempat kerja iaitu bangunan Rumah Persekutuan, Jalan Mat Salleh yang terletak di dalam Mukim Sembulan. Premis kerajaan ini juga menempatkan beberapa agensi kerajaan.

“Kes indeks bagi kluster ini merupakan seorang pegawai farmasi lelaki berusia 26 tahun disahkan positif ujian PCR di Klinik Kesihatan Luyang pada 15 Julai lalu selepas bergejala sejak 14 Julai,” katanya dalam kenyataan disini malam ini.

Masidi yang juga jurucakap rasmi COVID-19 Sabah berkata, sehingga hari ini sebanyak 258 sampel telah diambil di daerah Kota Kinabalu dengan 18 kes positif dikesan termasuk sembilan kes baharu.

Katanya, sebanyak 54 sampel didapati negatif dan 186 sampel lagi menunggu keputusan ujian saringan.

“Sementara itu sebanyak 24 kes pula didaftarkan di luar ibu negeri meliputi tiga kes di Putatan, tiga kes di Ranau, sembilan kes di Papar dan sembilan kes lagi di Penampang sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 42 kes termasuk sembilan kes baharu yang direkodkan pada hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, bagi kluster membabitkan penularan jangkitan dalam kalangan komuniti iaitu Kluster Noosob Baru Penampang disyaki berpunca daripada majlis pengebumian di Kampung Nosoob Baru pada 10 Julai.

Katanya, ia melibatkan keluarga dari Kampung Nosoob Baru, Kampung Pogunon dan Kampung Terawi.

“Kes indeks adalah wanita berusia 28 tahun yang dikesan positif COVID-19 hasil saringan pra-rawatan pada 13 Julai lalu dengan keputusan RTK-Ag grading 38 peratus. Setakat hari ini sebanyak 17 kes positif termasuk satu kes baharu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, sebanyak lima lokaliti di Sabah akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi tempoh 14 hari sehingga 8 Ogos depan.

Antara kawasan terlibat ialah Kampung Lajau Beaufort; Kampung Kota Klias Beaufort; Perumahan Ladang Kim Loong Beluran, Kampung Tungkang Kudat dan Kampung Telisai Tungku Lahad Datu.

RELATED ARTICLES
Utama

Yayasan PETRONAS agih 500 bakul makanan sempena Kaamatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular