Rakyat Sabah Bersemangat Terima Vaksin, Mahu Bekalan Terus Mencukupi – Mohd Arifin

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 0 Second

MEMBAKUT : Kaedah pendaftaran penerima vaksin COVID-19 secara manual yang dilaksanakan melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Ketua Kampung dilihat strategi berkesan bagi mempercepatkan imuniti kelompok.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ia termasuklah pelaksanaan pemberian vaksin melalui kaedah ‘walk- in’ dimana penerima hanya perlu hadir ke PPV dan diberikan vaksin suntikan.

“Isu mengenai rakyat Sabah kurang untuk membuat pendaftaran selain tidak mahu vaksin adalah tidak timbul, malah mereka bersemangat untuk segera diberi vaksinasi.

“Ini terbukti khususnya di kawasan saya apabila melihat sambutan rakyat di PPV Dewan Kesenian Islam Membakut yang hadir pada setiap hari sama ada mendapat janji temu melalui MySejahtera atau pendaftaran melalui manual,” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.

Mohd Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut berkata, sehingga semalam, seramai 400 penerima telah diberikan vaksin menerusi pemberian secara ‘walk-in’ membabitkan empat Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Katanya, pelaksanaan kaedah ‘walk-in’ di daerah ini dilaksanakan mengikut PDM dan Ketua-Ketua Adat.

“Justeru, saya berharap bekalan vaksin yang mencukupi dapat dihantar terus ke Sabah sesuai dengan permintaan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini.

“Dengan itu, kita boleh mempercepatkan lagi sasaran imuniti kelompok di Sabah,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *