COVID-19: Dua kluster baharu berpunca dari penularan jangkitan dalam komuniti

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 20 Second

KOTA KINABALU: Dua kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Gambaron Dua, Telupid dan Kluster Jalan Corak, Tongod.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kedua-dua kluster ini merupakan kluster penularan jangkitan dalam komuniti.

“Kluster Gambaron Dua, Telupid adalah kluster komuniti yang dipercayai menjangkiti dalam kalangan jemaah masjid seterusnya merebak kepada ahli keluarga.

“Kes indeks merupakan lelaki, 29, yang bergejala sejak 22 Julai 2021 sebelum disahkan positif (RTK-Ag grading 100%) di Klinik Kesihatan pada 23 Julai 2021,”katanya.

Berdasarkan siasatan, kes indeks mendapat jangkitan daripada seorang rakannya iaitu lelaki, dari Tawau yang disyaki menjadi kontak kes positif di Ladang FGV Tanah Mas, Telupid.

Sepanjang tiga hari bermula 15 Julai 2021 di Kg
Gambaron 2, kes indeks bersama rakannya itu menunaikan solat di Masjid Pekan Telupid.

Manakala Kluster Jalan Corak, Tongod menokok satu kes baharu hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 12 kes.

Menurut Masidi, kes indeks bagi kluster kategori komuniti ini mula dikesan apabila suri rumah, 30, yang bergejala demam, batuk dan selesma disahkan postif COVID-19 di Pejabat Kesihatan Daerah Tongod pada 26 Julai 2021.

Siasatan awal mendapati, kes indeks bersama 14 rakannya mula mengalami gejala serupa sejak menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Telupid pada 24 Julai 2021 dan di antara mereka masih menunggu keputusan ujian RT-PCR.

Berikutan dengan kes itu, saringan kontak juga mendapati sembilan lagi kes positif COVID-19 di sekitar kediaman kes indeks.

Setakat hari ini, aktiviti saringan, persampelan COVID- 19 dan disinfeksi masih diteruskan oleh pasukan siasatan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada penduduk kampung yang berdekatan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *