PICK : Usia Bukan Penghalang Terima Vaksin COVID-19

Read Time:57 Second

TAMPARULI: Faktor usia bukan menjadi halangan buat seorang warga emas berusia 101 tahun, Kagus Languan untuk menerima vaksin COVID-19 di Klinik Kesihatan Tenghilan disini hari ini.

Warga emas berasal dari Kampung Lapai itu merupakan penerima tertua yang dilaporkan menerima suntikan di klinik berkenaan.

Beliau mengakui berasa syukur dan menghargai peluang yang diberikan bagi membolehkan dirinya menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 seterusnya menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Keberanian warga emas itu turut mendapat pujian Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim yang menerima berita tersebut.

Gembira dengan perkembangan tersebut, Jahid turut berkongsi gambar Kagus di laman sosial Facebook miliknya hari ini.

“Saya difahamkan, beliau (Kagus) sangat tenang ketika menerima suntikan vaksin, dan berada dalam keadaan yang baik.

“Pujian juga harus diberikan kepada semua petugas dan kakitangan yang ada,” katanya.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli telah membuat lawatan ke Klinik Kesihatan Tenghilan beberapa hari lalu, bagi meninjau perkembangan pemberian suntikan vaksin di situ, sambil memberikan semangat dan motivasi kepada masyarakat yang hadir.

Katanya, kesedaran orang ramai terhadap kepentingan vaksin tanpa mengira peringkat umur, dapat membantu untuk mencapai jangkauan imuniti berkelompok yang disasarkan kerajaan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.