MUIS Salur Bantuan Khas Kepada Mangsa Kebakaran Di Tawau & Semporna

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 32 Second

TAWAU: Kerajaan negeri melalui Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menyalurkan bantuan khas kepada lima keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Batu 15 Jalan Apas disini Jumaat lalu.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, bantuan yang disalurkan MUIS itu adalah menerusi  tabung zakat untuk disalurkan kepada setiap mangsa kebakaran di negeri ini.

“MUIS menyediakan bantuan berupa kewangan bagi setiap ketua keluarga mangsa terlibat bagi meringankan bebanan yang ditanggung mereka. 

“Bantuan ini akan diberikan sekiranya pihak MUIS daripada bahagian zakat sudah mendapat maklumat dan laporan yang lengkap berkaitan mangsa terbabit kebakaran,” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.

Mohd Arifin berkata, maklumat mangsa akan diperolehi dengan bantuan Pejabat Daerah, Pegawai Tadbir Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan MUIS.

Katanya, kerajaan melalui MUIS akan berusaha untuk membantu setiap mangsa kebakaran terlibat bagi memastikan mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup harian.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan turut menyalurkan sumbangan peribadi kepada mangsa kebakaran yang turut disampaikan Mohd Arifin dalam majlis tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Arifin berkata, dana bantuan yang disalurkan MUIS itu adalah hasil kutipan zakat yang diperolehi daripada individu, agensi dan syarikat di negeri ini.

“Sebagai agensi yang memegang amanah tersebut, MUIS akan mengembalikan kutipan zakat tersebut kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Selain lawatan saya disini, bantuan sama turut diagihkan kepada mangsa kebakaran di Kampung Panji Semporna dan Kampung Titingan,” katanya.

Tambahnya, MUIS bersama Agensi Agama Islam Sabah (AIS) turut mengagihkan bantuan bakul makanan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negeri ini.

“Kerjasama itu termasuklah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), JHEAINS, Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dan Tabung Haji.

“Program seperti Huluran Ihsan Keperluan Makanan Asas (HIKMA) dan Jejak Hijrah telah berjaya mengagihkan bantuan bakul makanan kepada golongan terjejas di negeri ini,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *