KUALA TERENGGANU: Walaupun tanpa kehadiran lima tonggak utama Sabah FC mampu mengutip satu mata penting ketika menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi.
Ketua jurulatihnya, Kurniawan Dwi Yulianto berkata beliau tidak mempunyai pilihan terpaksa menurunkan pemain-pemain muda yang mempunyai tahap stamina dan kecergasan tinggi untuk memberi fokus kepada bahagian pertahanan selain cuba melakukan serangan balas pantas ke kubu lawan.
Beliau terpaksa melakukan rombakan tersebut kerana faktor keletihan beberapa pemain berikutan terpaksa mengharungi perjalanan darat selama lapan jam menggunakan bas ke Kuala Terengganu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Saddil Ramdani dan Amri Yahya hanya dimasukkan di separuh masa kedua kerana mereka mempunyai kekuatan dalam mengawal dan mengatur permainan agar tempoh permainan dapat dikawal.
“Kita tahu striker Josip Ivancic terpaksa dikeluarkan…hanya Bobby Gonzales backup striker. Kita harus beri pujian kepada Bobby kerana bukan hanya fokus untuk menyerang malah sering bekerja keras membantu pasukan sedang bertahan. Secara keseluruhan saya cukup berpuashati dengan aksi keseluruhan mereka,” katanya.
Kurniawan berkata selepas berehat hampir dua bulan, Sabah FC tiada perlawanan yang dapat menguji kekuatan pasukan dan hanya dapat melakukan dua perlawanan persahabatan untuk melihat keserasian pemain muda yang jarang diturunkan.
“Memang ada beberapa game utama ketika bertemu PJ City FC dan Sri Pahang FC yang kita target untuk menang. Jadi pemain Sabah FC memang perlu match fitness berterusan bagi mengelak berlakunya beberapa kesilapan sehingga menyebabkan kekalahan tempoh hari,” katanya.
Mengulas mengenai persiapan menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Likas rabu ini Kurniawan berkata, memang target untuk menang kerana beberapa pemain yang tidak bermain malam ini akan kembali beraksi.
“Apa yang paling penting semua pemain mereka mesti lebih fokus serta bekerja lebih keras kerana sudah banyak dibolosi gol disebabkan hasil kesilapan pemain sendiri serta mengelak daripada ia berlaku lagi dalam perlawanan akan datang,” katanya.
Berkaitan dengan sasaran berada di lima tangga teratas Liga Super Kurniawan berkata, beliau tidak memberikan tekanan kepada pemain serta hanya ingin mereka sentiasa patuh kepada arahan dengan memberikan aksi terbaik 100 peratus mereka.