BERNAMA
KOTA KINABALU — Pemain industri Sabah digalakkan mendapatkan Rapid Antigen Test Kit, yang menggunakan sampel air liur atau daripada hidung, untuk membuat ujian saringan COVID-19 terhadap pekerja mereka.
Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata kit ujian itu diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dan keputusan ujian itu boleh dikemas kini secara terus ke aplikasi MySejahtera.
“Kit ujian ini boleh dilakukan pada waktu yang sesuai dan di tempat kerja mereka,” kata Dr Joachim yang juga Menteri Pembangunan Industri Sabah dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, beliau mendengar taklimat daripada Hazeldazzel Resources (Sabah) Sdn Bhd yang merupakan pengedar tunggal untuk Salixium Rapid Antigen Test, yang disampaikan oleh Pegawai Pemasaran syarikat itu Fareed Sham.
Sabah merekodkan 1,166 kes COVID-19 semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes kepada 86,889.