Kepantasan Vaksinasi Harian Negara Lebih Tinggi Berbanding AS, UK

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 34 Second

KUALA LUMPUR: Peningkatan kapasiti pemberian vaksin COVID-19 harian di Malaysia membolehkan kadar vaksinasi negara perkapita melonjak melebihi beberapa negara maju ketika ini.

Penasihat Khas (Sains) kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof Madya Dr Mohd Ghows Mohd Azzam, berkata berdasarkan statistik Our World in Data, purata vaksinasi bagi setiap 100 individu di Malaysia adalah 1.65 setakat semalam.

Katanya, kepantasan vaksinasi negara ketika ini jauh lebih tinggi daripada kadar kemuncak pemberian vaksin COVID-19 di negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) yang lebih awal memberikan pelalian itu.

“Kadar vaksinasi semasa negara (perkapita) adalah jauh lebih pantas berbanding kemuncak kadar vaksinasi negara lain.

“Ini yang dimaksudkan apabila kami katakan pemberian vaksin di Malaysia pada tahap tersangat pantas,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Grafik Our World in Data yang dikongsi Mohd Ghows menunjukkan purata pemberian vaksin harian Malaysia bagi setiap 100 penduduk, jauh meninggalkan kemuncak vaksinasi di AS, UK, Kesatuan Eropah (EU) dan Korea Selatan, selain turut mendahului negara jiran Singapura.

Pemberian vaksin harian Malaysia kini 1.65, berbanding Turki (1.50), Singapura (1.49), Korea Selatan (1.22) dan Jepun (1.11).

Malah, jumlah direkodkan Malaysia ketika ini jauh lebih pantas berbanding jumlah pemberian vaksin tertinggi di AS iaitu hanya 1.01 yang dicatat pada 13 April lalu.

Malaysia turut mendahului jumlah pemberian vaksin tertinggi di UK yang hanya mencatat 0.89 pada 21 Mac lalu, selain turut mengatasi purata tertinggi pemberian vaksin di EU (0.92 pada 13 Jun).

Sementara itu, Penasihat Khas (Teknologi) Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dimishtra Steven Sittampalam, menerusi Twitter semalam berkata, purata pemberian vaksin selama tujuh hari antara 26 Julai hingga 1 Ogos adalah 533,832 dos.

Katanya, jumlah itu adalah lonjakan 26 peratus berbanding purata 423,265 dos yang diberikan pada minggu sebelumnya.

“Purata pemberian vaksin untuk Julai adalah 398,843 dos, yang melebihi daripada sasaran asal 300,000 sebanyak 33 peratus,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *