Jumlah Lokaliti PKPD Di Sabah Terus Meningkat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU: Sebanyak 172 lokaliti di seluruh Sabah telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan jangkitan COVID-19 sehingga kelmarin.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah itu membabitkan 22 daerah di Sabah dengan daerah Kota Kinabalu terus merekodkan lokaliti terbanyak setakat ini.

“Daripada jumlah lokaliti yang aktif dikenakan PKPD sehingga 2 Ogos, Kota Kinabalu merekodkan jumlah terbanyak iaitu sebanyak 39 kawasan dan diikuti daerah Penampang dan Tawau masing-masing 17 kawasan lokaliti dikenakan PKPD.

“Bagi daerah Keningau pula, sebanyak 14 kawasan dikenakan PKPD sehingga kini manakala Tuaran pula sebanyak 13 lokaliti selain Beaufort, Sandakan dan Sipitang masing-masing 12 kawasan PKPD,” katanya dalam kenyataan disini kelmarin.

Masidi berkata, turut dikenakan PKPD adalah Kudat sebanyak tujuh kawasan; Papar (5); Kinabatangan dan Putatan masing-masing empat lokaliti dikenakan PKPD.

Katanya, bagi daerah Kota Belud dan Ranau turut merekodkan lokaliti PKPD sebanyak tiga kawasan diikuti Telupid dan Tenom masing-masing dua kawasan.

“Sebanyak enam daerah iaitu Beluran; Kota Marudu; Kuala Penyu; Kunak; Lahad Datu dan Tongod masing-masing merekodkan satu kawasan dikenakan PKPD,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, sebanyak dua lokaliti di Beaufort akan dikenakan PKPD bermula esok sehingga 17 Ogos depan.

Katanya, lokaliti berkenaan adalah Kampung Selagon dan Kampung Binsulok.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *