HomeIsu tempatanSerunding Kubis: Inovasi Usaha UMS Bantu Komuniti

Serunding Kubis: Inovasi Usaha UMS Bantu Komuniti

Read Time:3 Minute, 2 Second

KOTA KINABALU: Inovasi yang diusahakan sekumpulan pakar Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi membantu komuniti tempatan menghasilkan Serunding Kubis mendapat pengiktirafan kebangsaan.

Ketua kumpulan penyelidik, Dr Jurry Foo berkata, pihaknya telah diumumkan penerima anugerah pingat emas bagi projek Penyediaan dan Pemasaran Serunding Kubis, iaitu satu inisiatif membantu penduduk Ranau menghadapi isu lambakan sayur-sayuran pada Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) 1.0.

“Pada ketika itu pergerakan terhad menyebabkan para petani menghadapi cabaran untuk memasarkan sayur-sayuran ke pasaran luar daerah dan hanya mengharapkan pembeli daripada kalangan penduduk setempat.

“Sayur kubis merupakan sayuran paling terjejas menyebabkan para petani dan peniaga terpaksa menanggung kerugian serta berlakunya pembaziran sayuran.

“Atas keprihatinan terhadap nasib komuniti setempat, UMS melalui Pusat Penyelidikan dan Inovasi (kini dikenali Pusat Pengurusan Penyelidikan UMS) telah melancarkan dana penyelidikan COVID-19 bagi membantu masyarakat,” katanya.

Jurry berkata demikian ketika dihubungi pemberita berhubung pengiktirafan tersebut yang diperoleh melalui penyertaan secara maya dalam National Innovation and Invention Competition Through Exhibition (iCompEx) 2021 anjuran Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS).

Menurutnya, pakar  UMS yang terlibat terdiri daripada kumpulan penyelidik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), serta penyelidik dari Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP).

“Di sini kita mengambil tanggungjawab mencadangkan beberapa idea untuk memproses sayur kubis menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang sedia ada pada komuniti untuk meminimumkan risiko pembaziran sayuran.

“Sementara menunggu tawaran dana penyelidikan dari UMS, saya telah mengadakan bengkel secara dalam talian tentang cara memproses  sayuran termasuk kubis dalam bentuk serunding dengan menginspirasikan kaedah menghasilkan serunding Tuhau yang merupakan produk makanan tempatan popular dalam kalangan masyarakat di Ranau.

“Pada peringkat permulaan, cadangan ini mendapat tentangan umum kerana ramai yang beranggapan sayur kubis tidak sesuai dijadikan serunding.

“Namun sekumpulan komuniti perintis telah merealisasikan idea dan resipi penyelidikan UMS dengan jayanya melalui bimbingan dalam talian,” katanya yang juga Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS.

Ujar Jurry, daripada makanan sampingan biasa-biasa, kini Serunding Kubis telah menjadi produk makanan tahan lama yang mendapat permintaan menggalakkan daripada pengguna.

“Ia kini dipasarkan dalam talian secara meluas dan boleh didapati di platform e-Dagang seperti Shoppee dan Lazada.

“Produk Serunding Kubis ini juga boleh didapati di beberapa cawangan pasaraya tempatan iaitu BATARAS dan SABINDO,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Jurry yang juga pensyarah kanan FSSK memaklumkan, penyelidikan dan inovasi berterusan bukan sahaja membawa kepada peningkatan kualiti produk secara berterusan malah meningkatkan keupayaan komuniti sebagai pengusaha, yang mampu membuka peluang pekerjaan kepada golongan terjejas.

“Dalam masa sama, produk ini secara tidak langsung memberikan idea dijadikan sebagai produk pelancongan pada masa akan datang. ‘Kibis-kibis dulu- ingat Kubis ingat Ranau’.

“Justeru, kita yakin bahawa kelangsungan produk dan keupayaan komuniti lebih  terjamin dengan penglibatan dan suntikan dana daripada banyak pihak.

“Sebagai pemegang hak cipta resipi asas Serunding Kubis, komuniti rintis yang terdiri daripada pengusaha digalakkan bekerjasama dengan pemegang taruh lain,” katanya.

Jurry turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak  yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung.

“Saya mewakili kumpulan penyelidik mengucapkan setinggi penghargaan kepada UMS atas dana yang diberikan, kepada komuniti perintis yang merealisasikan idea inovasi sosial penyelidikan ini menjadi kenyataan.

“Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada semua pihak yang terlibat termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), pasaraya BATARAS dan SABINDO. 

“Akhir sekali rasa bersyukur atas semua kerjasama ahli-ahli penyelidikan ini dan semestinya kepada FSSK. Saya sebagai ketua penyelidik amat berpuas hati kerana matlamat inovasi sosial telah tercapai sebelum tarikh akhir malah telah memberikan manfaat kepada banyak pihak,” katanya.

Untuk rekod, projek inovasi sosial Serunding Kubis turut mendapat pengiktirafan pingat gangsa sebanyak dua kali sebelum ini melalui sebuah pertandingan inovasi peringkat antarabangsa dan sebuah lagi di peringkat dalaman UMS.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

35 pelajar TARUMT hadir sebagai pemerhati sidang DUN Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya