MAFI Perjelas Kekeliruan Projek Ternak Udang Dalam Sawah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 23 Second

KUALA LUMPUR: Projek rintis ternakan udang dalam kawasan sawah di FELCRA Seberang Perak dan Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) adalah dua inisiatif berbeza.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam kenyataan media hari ini, memaklumkan projek ternakan udang dalam kawasan sawah seluas 1.08 hektar di Seberang Perak itu bukan sebahagian daripada program SMART SBB.

“Sebaliknya ia adalah projek rintis melalui kerjasama Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak dengan sebuah syarikat swasta bertujuan meningkatkan pendapatan pesawah selain menikmati hasil daripada penanaman padi.

“Projek rintis ternakan udang itu bukan sebahagian program SMART SBB, justeru tidak timbul isu kerajaan mengubah strategi pelaksanaan SMART SBB dengan penternakan udang.

MAFI berharap tiada pihak membuat sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan pesawah.

“MAFI sentiasa bersedia mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak khususnya pesawah dan pemain industri, selain mengalu-alukan pandangan semua pihak berkepentingan dalam usaha memantapkan industri padi beras negara yang lebih kompetitif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa,” kata kementerian itu.

Selasa lalu, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) dan Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) mengeluarkan kenyataan meminta pesawah berfikir panjang mengenai penyertaan dalam Projek SMART SBB.

PeSAWAH dan FKMM mendakwa, pengurusan estet mengubah strategi sedia ada dengan mempromosi aktiviti penternakan udang secara integrasi bersama penanaman padi ketika belum setahun inisaitif SMART SBB dijalankan.

Kedua-dua pihak berkenaan juga mendakwa Projek SBB akan memberi kuasa kepada pengurusan estet untuk melaksanakan apa sahaja projek yang diinginkan di kawasan yang sudah dipajak atau miliki.

MAFI menjelaskan, SMART SBB yang mendapat persetujuan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) adalah antara inisiatif dirangka bagi mempertingkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras negara sebanyak 75 peratus dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Ia dilaksanakan jabatan dan agensi dibawah MAFI iaitu Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan IADA.

Pelaksanaan SMART SBB membabitkan pesawah sebagai rakan kongsi utama kerajaan, menjadikan kepentingan serta kesejahteraan pesawah dalam sektor padi dan beras negara sebagai keutamaan MAFI.

“Usaha sama awam dan swasta membolehkan pesawah menikmati peningkatan hasil padi setiap tan setahun sehingga 191 peratus dan seterusnya menikmati nilai pendapatan tahunan sehingga 47 peratus.

“Malah, hampir semua risiko dan kos penanaman padi yang sebelum ini ditanggung pesawah akan dapat dikurangkan, sekali gus meningkatkan margin pendapatan mereka.

“Inisiatif ini juga membolehkan pelaksanaan pendekatan baharu melalui konsep pertanian moden termasuk pelaksanaan sistem profil tanah, pertanian pintar, kaedah teknologi baharu atau ‘Internet of Things’ (IoT) selaras Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) untuk meningkatkan hasil per hektar,” katanya.

Kata kementerian itu, MAFI melalui jabatan dan agensi di bawahnya sentiasa menjalankan pemantuan berterusan di lapangan bagi menjaga kepentingan dan kebajikan pesawah yang menjadi kumpulan sasar utamanya.

“Bagi menjaga kepentingan semua pihak, MAFI sentiasa mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk pesawah melalui jabatan dan agensi bagi memastikan inisiatif ini dilaksanakan secara efektif,” kata kementerian itu lagi. Berita Harian

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *