HomeUtamaPICK : PKK Semporna Dijangka Terima 30,000 Dos Vaksin CanSino

PICK : PKK Semporna Dijangka Terima 30,000 Dos Vaksin CanSino

Read Time:1 Minute, 46 Second

SEMPORNA: Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Semporna dijangka menerima sebanyak 30,000 dos vaksin COVID-19 jenis CanSino pada minggu depan.

Pegawai Kesihatan Daerah Semporna Dr Shameer Khan Sulaiman berkata, vaksin jenis satu dos itu akan memudahkan proses vaksinasi di daerah ini terutamanya di kawasan pulau yang jauh.

“Vaksinasi penduduk di kawasan pulau menggunakan vaksin dua dos seperti Pfizer dan Sinovac sebelum ini sangat sukar kerana kami menghadapi masalah logistik dan perhubungan.

“Hal ini kerana ada sesetengah pulau seperti Denawan memerlukan dua jam perjalanan menggunakan bot,” katanya.

Menurutnya, penggunaan vaksin satu dos CanSino dapat memudahkan kerja petugas dan penduduk pulau kerana program vaksinasi hanya perlu dilaksanakan sekali di tempat yang sama.

“Malah, kebajikan petugas kesihatan terjaga kerana tidak perlu datang kali kedua selepas program itu dilaksanakan dan dapat melakukan kerja lain seperti mendaftar data vaksinasi.

Bagaimanapun, katanya, vaksin satu dos ini hanya digunakan khas untuk penduduk di pulau yang terletak jauh dari bandar Semporna sahaja.

“Manakala, penduduk yang berada di tanah besar Semporna masih diberikan vaksin dua dos dan pihaknya akan memohon tambahan vaksin CanSino lagi jika ada keperluan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, seramai lebih 8,000 daripada 16,000 penduduk yang layak divaksin di kawasan Dewan Undangan Negeri Sulabayan, meliputi 29 pulau sudah menerima vaksin dua dos.

“Kami akan memulakan percubaan program vaksinasi secara jumpa terus atau walk-in di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Semporna untuk 1,000 individu terawal, hari ini (Khamis).

“Penduduk boleh mengambil nombor giliran di PPV dengan 1,000 nombor giliran disediakan, 500 individu akan divaksin pada sebelah pagi dan bakinya pada petang.

“Bagi yang tidak sempat mendapatkan nombor giliran pada hari ini, mereka boleh datang semula pada hari berikutnya,” katanya.

Tambahnya, vaksinasi secara walk-in terbuka kepada penduduk daerah ini yang berusia 18 tahun dan ke atas bagi mempercepatkan proses vaksinasi di Semporna.

“Setakat ini, kira-kira 30,000 penduduk Semporna sudah menerima suntikan vaksin dan semua penduduk termasuk warga asing perlu melakukan suntikan itu bagi mencapai imuniti kelompok.

“Saya menzahirkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia kerana membantu dalam melancarkan program vaksinasi di Semporna,” katanya. – UTUSAN BORNEO

RELATED ARTICLES
Utama

Pelajar Kolej Vokasional Keningau Wakili Malaysia di Taipei 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular