Sambutan Maal Hijrah 1443H Di Sabah Akan Melihat Situasi Semasa

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU :  Sambutan Maal Hijrah 2021/1443H Peringkat Negeri Sabah pada 9 dan 10 Ogos ini akan disesuaikan mengikut situasi semasa.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, jawatankuasa sambutan kini sedang memperincikan pelaksanaan sambutan tersebut berikutan situasi pandemik COVID-19 yang kian meningkat di negeri ini. 

“Kita akan mengubah suai pelaksanaan sambutan agar sesuai dengan keadaan semasa COVID-19 ketika ini, mungkin dengan kehadiran yang amat terhad atau secara maya.

“Ini termasuklah acara yang melibatkan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin bagi penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah.

“Pada tahun ini, kita akan memilih seorang tokoh Maal Hijrah dan acara penyampaian itu nanti kita akan sesuaikan mengikut keadaan semasa,” katanya. 

Mengenai program-program yang telah disusun atur, beliau menjelaskan, salah satu program utama sambutan ialah Program Ziarah Hijrah Peringkat Negeri yang memfokus kepada golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Selain majlis tahlil pada 9 Ogos, kita juga mengadakan Program Ziarah Hijrah Peringkat Negeri iaitu program yang membantu sedaya mungkin daripada peruntukan seluruh daerah untuk menyediakan bakul makanan. 

“Demikian juga, kita akan melancarkan Program Jejak Hijrah Peringkat Daerah iaitu program untuk menyatakan kebersamaan Jawatankuasa Sambutan Maal Hijrah ini dengan menyampaikan bakul makanan kepada mereka yang telah dikenal pasti di daerah-daerah dan kawasan yang telah ditetapkan oleh JHEAINS dan MUIS.

“Ini kerana kita menggunakan peruntukan yang amat terhad, lebih kurang RM10 ribu bagi setiap daerah dan jawatankuasa menyasarkan 200 hingga 300 orang penerima dalam kalangan mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Juhar di Istana Negeri, disini hari ini. 

Kunjungan tersebut juga bertujuan untuk memperkenalkan Yang Dipertua MUIS yang baharu, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin dan Timbalannya, Malai Ali Malai Ahmad berkuatkuasa 16 Jun lalu./PENERANGAN- 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *