HomeUtamaUmat Islam Dijangka Dapat Kembali Tunai Umrah Selewatnya Hujung Tahun Ini

Umat Islam Dijangka Dapat Kembali Tunai Umrah Selewatnya Hujung Tahun Ini

Read Time:1 Minute, 6 Second

MARANG : Umat Islam di negara ini dijangka dapat kembali menunaikan ibadah umrah di tanah suci Mekah selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, hasrat tersebut boleh direalisasikan seawal dua bulan lagi sekiranya kadar vaksinasi nasional meningkat dan pada masa sama, kes positif Covid-19 dapat diredakan.

“Kita harap isu berkaitan dengan penyebaran Covid-19 ini dapat diredakan dengan sebaik mungkin, pada masa sama vaksinasi dapat diperbanyakkan lagi.

“Kalau hal ini dapat diselesaikan dengan baik, insyaAllah rakyat Malaysia dapat mengunjungi rumah Allah (Kaabah) dalam tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas memantau pembinaan Madrasah Darul Quran, Rusila di sini hari ini.

Zulkifli berkata, kebenaran umah Islam di negara ini untuk menunaikan ibadah umrah masih bergantung kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

Tambah beliau, berdasarkan pengalaman sebelum ini, kebenaran itu bergantung kepada situasi Covid-19 di negara ini dan negara yang hendak dikunjungi iaitu Arab Saudi.

Kosmo! semalam melaporkan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussein Saed Qattan mengesahkan Malaysia tersenarai antara 49 buah negara yang diberi kelulusan bagi tujuan pelancongan termasuk umrah bermula 1 Ogos lalu.

Zulkifli berkata, walaupun kes jangkitan positif Covid-19 masih tinggi, Malaysia diberi kepercayaan oleh Arab Saudi untuk membuka pintu negaranya bagi tujuan pelancongan disebabkan kadar vaksinasi yang amat pantas. – K! ONLINE

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular