APMM Zon Maritim Tawau Bantu Pindahkan Pesakit COVID-19 Dari Pulau Sebatik

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 25 Second

TAWAU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tawau telah membantu menyediakan khidmat pengangkutan bagi memindahkan pesakit positif COVID-19 dari pulau-pulau di daerah ini ke pusat kuarantin.

Pengarah Zon Maritim Tawau Kapten Maritim Siva Kumar a/l Vengadasalam berkata, kerjasama ini merupakan salah satu usaha Maritim Malaysia bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menguruskan pesakit positif COVID-19 terutamanya melibatkan komuniti maritim.

“Proses pemindahan pesakit ini melibatkan beberapa lokaliti di Pulau Sebatik iaitu Kampung Bergosong, Kampung Sungai Tongkang, Kampung Mentadak, Kampung Lahat-Lahat dan Kampung Wallace Bay.

“Pergerakan pesakit diselaraskan oleh petugas KKM dengan mengaturkan beberapa siri perjalanan mengikut jumlah kes positif di kawasan Pulau Sebatik,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Siva Kumar berkata, sehingga kini seramai 108 orang penduduk positif COVID-19 telah dipindahkan ke pusat kuarantin sejak berlaku peningkatan kes membabitkan kawasan Pulau Sebatik.

Katanya, bot-bot peronda dari Zon Maritim Tawau telah diatur gerak bagi melaksanakan penugasan ini dimana setiap anggota dibekalkan dengan peralatan PPE.

“Manakala langkah-langkah keselamatan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi sepenuhnya serta proses sanitasi bot dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan risiko jangkitan semasa dalam tugasan.

“Kesemua pesakit dibawa dari Pulau Sebatik dan diturunkan di jeti Yatch Club Tawau sebelum dibawa menaiki ambulan oleh kakitangan KKM ke Pusat Kuarantin.

“Bantuan pengangkutan ini disediakan bagi melancarkan proses pengasingan pesakit positif COVID-19 yang akan menjalani kuarantin dan rawatan susulan di pusat-pusat kuarantin yang ditetapkan,” katanya.

Katanya, kerjasama semua agensi yang terlibat dalam menguruskan hal-hal berkaitan pandemik COVID-19 dilihat satu bentuk usaha bagi membantu pihak kerajaan dalam menangani krisis ini.

Tambahnya, Maritim Malaysia Zon Maritim Tawau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu dalam misi bantuan ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *