HomeUtamaUmat Islam Dituntut Untuk Sentiasa Amal Ajaran Agama Bersunguh-Sungguh

Umat Islam Dituntut Untuk Sentiasa Amal Ajaran Agama Bersunguh-Sungguh

Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Sambutan Maal Hijrah 1443H/2021 yang bertemakan ‘Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti’ menuntut umat Islam untuk mengamalkan ajaran agama dengan bersungguh-sungguh.

Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata,  tema itu turut mengajak masyarakat agar menjadi hamba Allah yang sentiasa taat melakukan segala amalan yang diperintahkan. 

“Sebagai umat Islam, kita dituntut supaya bermuhasabah, bertaubat dan kembali menghayati serta mengamalkan ajaran Islam dengan sesungguhnya kerana ia merupakan kaedah dan peraturan yang diturunkan Allah SWT bagi mesejahterakan kehidupan ummah di dunia dan akhirat.

“Tahun baharu hijrah yang menjelang ini,  kita warnai dengan keazaman untuk menjadi hamba Allah SWT yang cemerlang dengan melakukan segala amalan yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang ditegah-Nya.

“Ini penting untuk kita jadikan tekad serta azam dan menginsafi bahawa kelalaian manusia untuk tunduk kepada ajaran agama merupakan antara sebab-munasabah berlakunya bencana bersilih ganti sejak akhir-akhir ini sebagai peringatan dan pengajaran,” katanya dalam  Perutusan Sambutan Ma’al Hijrah 1443H/ 2021M di Istana Negeri, hari ini.

Dalam pada itu, Tun Juhar juga menyeru umat Islam agar memasang azam dan menjadikan tema tersebut sebagai topik utama kerangka masa depan yang lebih gemilang.

“Sewajarnya, kita mensyukuri dengan memperbaiki segala bentuk kelemahan dan kekurangan pada masa lalu di samping memasang azam serta iltizam baharu, mewacana kerangka masa depan yang lebih gemilang berpaksikan kepada Manhaj Rabbani. 

“Langkah ini berupaya membentuk negara aman damai dengan umat yang bersatu padu, maju dan berkualiti dengan setiap individu menjaga akidah, ibadah dan akhlak masing-masing,” katanya. 

Dalam perutusannya, Tun Juhar turut menyentuh gagasan ‘Sabah Maju Jaya’ yang diasaskan oleh Ketua Menteri Sabah sebagai tuntutan hijrah masa kini untuk kemajuan negeri ini.

Tambahnya,  hala tuju tersebut sebagai garis panduan, visi dan misi membangun serta memakmurkan Sabah sesuai dengan tuntutan hijrah dan seiring dengan usaha melahirkan umat yang berkualiti./PENERANGAN

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular