COVID-19: Kes terus meningkat di Sabah dengan 13 kematian, 1 Kluster baharu

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 51 Second

KOTA KINABALU: Seperti yang dijangkakan kes harian terus meningkat hari ini kepada 1,514 kes yang tertinggi setakat ini melibatkan sebanyak 13 kes kematian dilaporkan iaitu tujuh kes di Kota Kinabalu manakala Papar, Kudat, Tuaran, Penampang, Tawau dan Beluran masing-masing mencatatkan satu kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, penambahan 131 kes baharu berbanding 1,383 kes semalam (10 Ogos 2021) banyak dipengaruhi oleh kenaikan mendadak di daerah Penampang daripada 80 kes kepada 228 kes hari ini hampir tiga kali ganda berbanding semalam.

Katanya, 60.5% kes di Penampang adalah Kontak Rapat dan 33.3% adalah melalui Saringan Bergejala. Keningau menambah 61 kes baharu hari ini, Papar menambah 53 kes dan Beluran menambah 46 kes berbanding jumlah semalam.

Manakala, kes baharu di Kota Kinabalu pula turun sebanyak 63 kes hari ini tetapi masih mencatatkan kes yang tertinggi di Sabah dengan 263 kes. 60.5% kes di Kota Kinabalu disumbang oleh Kontak Rapat dan 26.3% melalui Saringan Bergejala.

“Secara keseluruhan 925 kes atau 61.10% kes hari ini melibatkan Kontak Rapat 331 kes atau 21.86% adalah melalui Saringan Bergejala dan 118 kes atau 7.79% daripada kluster-kluster yang sedia ada.

“Bagaimanapun, sejumlah 1,105 kes daripada 1,514 kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2. Kategori 1, iaitu 323 kes adalah mereka yang tidak mengalami sebarang simptom dan Kategori 2 iaitu sebanyak 782 kes sekadar mengalami simptom ringan (mild). Kedua kategori pesakit ini tidak perlu dimasukkan ke hospital untuk rawatan, sekadar ditempatkan di PKRC.

“Sementara 13 kes dalam Kategori 3, tiga kes dalam Kategori 4 dan tiga dalam Kategori 5. Pesakit dalam Kategori 4 dan Kategori 5 ini memerlukan rawatan rapi (ICU), manakala 390 kes masih dalam siasatan lanjut untuk menentukan pengkategorian,” kata Masidi yang juga Jurucakap COVID-19 Negeri.

Dalam pada itu, satu kluster baharu turut direkodkan hari ini iaitu Kluster Batu 27 Sook , Keningau melibatkan para pekerja di sebuah kilang pemprosesan papan di Mukim Sook, Daerah Keningau.

Kes indeks merupakan wanita, bukan warganegara, 23, disahkan positif Covid-19 hasil saringan tempat kerja dengan keputusan RTK-Ag positif di sebuah klinik swasta pada 09 Ogos 2021.

Penularan jangkitan dipercayai berpunca daripada pergaulan rapat antara penghuni rumah sewa yang padat.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *