PICK : JKNS Syor Kaedah & Pendekatan Baharu Bagi Mendepani COVID-19, Sabah Terima 1.5 Juta Dos Vaksin

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU : Sabah akan menerima 1.5 juta dos vaksin pada bulan ini bagi menampung pemberian vaksin kepada penerima di negeri ini menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, bekalan vaksin tersebut sudah pun mula diterima sejak minggu lalu.

“Kabinet negeri telah dimaklumkan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Rose Nani Mudin bahawa bekalan vaksin yang dihantar ke Sabah adalah cukup.

“Mengikut perancangan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan makluman daripada Badan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Kebangsaan, Sabah akan menerima 1.5 juta dos vaksin pada bulan Ogos ini,” katanya dalam kenyataan disini malam ini.

Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah berkata, pengarah JKNS turut mengesyorkan kaedah dan pendekatan baharu bagi mendepani pandemik COVID-19 di Sabah menerusi beberapa perkara.

Katanya, ia termasuklah meningkatkan peratusan vaksinasi  dalam kalangan penduduk negeri Sabah sehingga mencapai imuniti kelompok sebelum Oktober depan.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan lagi kaedah utama untuk menghentikan penularan jangkitan COVID-19 dan kita perlu menerima hakikat bahawa kita perlu hidup bersama COVID-19 dalam tempoh yang lama dan norma baharu menjadi amalan dalam kehidupan harian.

“Mengambil langkah-langkah dan dasar baharu yang mengimbangi hidup dan tuntutan kehidupan (balancing lives and livelihoods) bagi membolehkan ekonomi Sabah pulih seperti sedia kala dengan pematuhan norma baharu,” katanya.

Katanya, kejayaan pendekatan dan dasar baharu ini banyak bergantung kepada kerjasama rakyat untuk mematuhi semua prosedur standard operasi norma kehidupan seharian yang baharu.

Tambahnya, kerajaan negeri juga berpuas hati dengan kadar pemberian vaksin harian yang sedang dilaksanakan oleh JKNS dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang lain.

“Sehingga semalam, sebanyak 42 peratus penduduk negeri Sabah telahpun memperolehi satu dos dan 18.1 peratus penduduk telahpun melengkapi dua dos,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *