Kerajaan Sabah Beli Vaksin Tampung Kemungkinan Kekurangan Bekalan Vaksin

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 6 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri memutuskan untuk membeli bekalan vaksin sendiri bagi menampung kemungkinan kekurangan bekalan vaksin jenis Pfizer yang dijangka akan mengalami gangguan pengeluaran kepada negara yang menggunakannya termasuk Malaysia.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia adalah sebagai persediaan kepada sebarang kemungkinan gangguan bekalan vaksin yang boleh menjejaskan usaha kerajaan mencapai imuniti kelompok di Sabah.

“Kita akan meminta syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) menggunakan sebahagian daripada keuntungan perniagaan mereka untuk membeli vaksin seterusnya diberikan kepada kakitangan dan pekerja mereka.

“Manakala selebihnya akan didermakan secara percuma kepada rakyat di Sabah yang layak. Inisiatif ini akan mempertingkatkan lagi program imunisasi dan mempercepatkan pemberian vaksin kepada semua penduduk di negeri ini,” katanya.

Masidi yang juga jurucakap COVID-19 negeri Sabah berkata, kerajaan melalui GLC bersedia untuk membeli vaksin sekiranya terdapat kekurangan bekalan bagi memastikan semua penduduk memperolehi vaksin dengan kadar segera.

Katanya, perbelanjaan pembelian vaksin ini akan ditolak daripada jumlah dividen tahunan yang lazim dibayar oleh GLC kepada kerajaan negeri setiap tahun.

“Syarikat-syarikat swasta khususnya syarikat peladangan besar juga amat digalakkan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk kebajikan pekerja mereka dan dicadangkan membeli vaksin untuk kegunaan pekerja mereka sendiri tanpa menunggu vaksin percuma yang diberi oleh kerajaan.

“Kita sedia maklum bahawa sebahagian besar 80 peratus daripada pekerja-pekerja ladang adalah rakyat asing. Program amal ini atau CSR ini akan membantu mempercepatkan imunisasi kepada seluruh penduduk dewasa di Sabah, tak kira warganegara atau bukan warganegara,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga bersedia mempertimbangkan untuk membenarkan ladang-ladang besar yang berjaya memberi vaksin kepada 100 peratus pekerja mereka (termasuk keluarga) beroperasi semula dengan kapasiti tenaga sepenuhnya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, syarikat milik kerajaan, Qhazanah Sabah Sdn Bhd (Warisan Harta SB) telah dilantik oleh Pharmaniaga Bhd sebagai wakil penjualan vaksin Sinovac di Sabah.

Katanya, Pharmaniaga mempunyai kemudahan penyimpanan vaksin di Kota Kinabalu. Kapasiti pengeluaran Sinovac di kilang Pharmaniaga di Kuala Lumpur adalah sebanyak 4 juta dos sebulan.

“Syarikat-syarikat yang berhasrat untuk membeli sendiri vaksin untuk pekerja mereka boleh menghubungi terus Qhazanah Sabah di Kota Kinabalu. Kerajaan negeri juga menjamin pemberian vaksin adalah diberi secara percuma kepada semua penduduk negeri Sabah.

“Cadangan menggalakkan syarikat-syarikat besar untuk menderma vaksin kepada pekerja mereka ialah bagi mempercepatkan negeri Sabah mencapai imuniti kelompok.  Langkah ini akan mempercepatkan pemulihan ekonomi negeri kita,” katanya.

Katanya, vaksinasi adalah kunci kepada usaha yang berkesan memerangi pandemik Covid-19 di Sabah.

“Dalam masa yang sama seluruh penduduk juga harus bekerjasama dengan mematuhi semua SOP. Penjagaan kesihatan secara penuh disiplin akan mengurangkan risiko penjangkitan virus Covid ini,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *